Anda di sini

Banjir: Tiga jalan terputus akibat mendap dan hakisan

Advertisement
 Jalan utama menuju ke Kg Tanjung Nipis Paitan turut terhakis oleh arus banjir yang deras dan kini sukar dilalui kenderaan.

MUSIBAH: Jalan utama menuju ke Kg Tanjung Nipis Paitan turut terhakis oleh arus banjir yang deras dan kini sukar dilalui kenderaan.

BELURAN: Banjir yang melanda beberapa per-kampungan di kawasan Paitan sejak Rabu minggu lepas kini beransur surut sehingga petang kelmarin.

Pegawai Daerah Kecil Paitan Joe Joloning Majambu berkata keadaan cuaca yang agak baik kelmarin membolehkan banjir beransur surut dan jumlah kampung terjejas banjir kian berkurangan.

“Bagaimanapun, dua Pusat Pemindahan Mangsa Banjir (PPMB) di Dewan Kampung Binsulung dan Dewan Kubambangan Paitan masih dibuka,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo kelmarin.

Katanya jumlah keseluruhan mangsa banjir yang masih ditempatkan di pusat pemindahan ialah seramai 83 orang, 45 orang dari 11 keluarga di Dewan Kg Binsulung dan 38 orang dari lapan keluarga di Dewan Kubambangan.

“Jika hujan tidak turun malam ini dan esok (hari ini), beberapa jalan kampung yang sebelum ini ditenggelami banjir dijangka sudah boleh dilalui,” katanya.

Joe berkata mangsa banjir yang masih berada di dua pusat pemindahan itu juga sebahagiannya dijangka boleh balik ke rumah masing-masing, tertakluk kepada pengesahan pihak pasukan keselamatan, sekiranya keadaan rumah mereka selamat dan banjir pulih sepenuhnya.

Bagaimanapun, pihaknya turut menerima aduan dan laporan bahawa kini sekurang-kurangnya tiga jalan utama ke beberapa kampung terjejas perhubungan akibat jalan runtuh (mendap) atau terhakis oleh air banjir yang deras.

Antaranya ialah jalan ke Kg Pantai Boring, Kg Tanjung Nipis dan Kg Binanjar Baru yang mana jalan berkenaan kini terputus dan sukar dilalui kenderaan.

Beliau menjelaskan terdapat juga beberapa kampung yang masih terputus hubungan kerana jalan utama masih ditenggelami air iaitu Jalan Kg Sungai-sungai dan juga Kg Golong.

Menurutnya Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) yang diwujudkan sejak Rabu minggu lepas di Pejabat Daerah Kecil Paitan masih dibuka dan masih bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya hujan dan banjir kembali melanda Paitan.

Katanya petugas agensi/jabatan yang terlibat dalam bantuan operasi banjir masih ‘berkampung’ dan bersiap sedia memberikan bantuan serta perkhidmatan yang diperlukan penduduk terjejas banjir, khasnya mereka yang berada di pusat pemindahan.

Agensi yang terlibat ialah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sandakan, Pitas, Paitan dan Lahad Datu dengan keanggotaan seramai 26 orang, bomba (Sandakan dan Kinabatangan) lapan orang, manakala anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran, 10 orang.

Selain itu, kakitangan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Beluran yang berada di dua pusat pemindahan untuk menyelaras bantuan makanan dan keperluan mangsa, selain memberi perkhidmatan pemeriksaan dan rawatan kesihatan kepada para mangsa.

Dalam pada itu, banjir di Paitan kali ini turut menjelaskan sesi pembelajaran di beberapa sekolah yang ditenggelami banjir, manakala sebahagian sekolah pula tidak dapat beroperasi akibat laluan jalan utama ke sekolah ditenggelami banjir.

Ketua Pegawai Pendidikan Daerah (KPPD) Beluran Soje Abd Hassan bersama tiga pegawai dari PPD Beluran turut berada di Paitan untuk memantau keadaan di beberapa sekolah yang terjejas banjir seperti SK Binsulung, SK Sungai-sungai, SK Bawang, SK Simpangan dan sebagainua.

Rombangan PPD Beluran terdiri daripada Zainal Abidin Mahmud (Ketua Unit Pembangunan), Abd Raman Osman (Ketua Unit Pengurusan Sekolah) dan Ramli Idtol (Ketua Unit Pembangunan Kemanusiaan).

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Sukarti Wakiman telah mengadakan lawatan ke Paitan kelmarin untuk meninjau keadaan banjir dan melawat mangsa yang berada di pusat penempatan di Dewan Kubambangan Paitan.

Beliau yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman turut menyempurnakan penyerahan 500 bungkusan makanan sumbangan Pejabat DUN Sugut kepada mangsa dan penduduk terjejas banjir.

Sukarti dan rombongan telah diberi taklimat terkini mengenai status banjir dan operasi pengurusan banjir oleh Joe.

Turut hadir pada majlis itu ialah ADUB Sugut Datuk James Ratib, Pegawai Daerah Beluran Suhaili Riman dan para pegawai agensi/jabatan kerajaan yang terlibat dalam operasi banjir serta para pemimpin setempat di kawasan Paitan.

Advertisement