Anda di sini

ASADIA lebar sayap buka kelas budaya Bidayuh

Advertisement

// Oleh Agnes Tugong //

 Peserta ASADIA mempelajari tarian Birejang Beuh bersama Ozie (depan).

KHAZANAH: Peserta ASADIA mempelajari tarian Birejang Beuh bersama Ozie (depan).

AKADEMI Persatuan Dayak Iban Sarawak (ASADIA) melebarkan lagi program kebudayaan akademi dengan membuka kelas belajar budaya masyarakat Bidayuh.

Ketua ASADIA, Mabong Unggang berkata, kali ini akademi membuka dua kelas belajar budaya Bidayuh iaitu tarian dari suku kaum ini yang dikenali sebagai ‘Birejang Beuh’ dan bergendang yang dikenali sebagai ‘Onguong Birejang’.

“Seramai sembilan peserta perempuan menyertai kelas belajar tarian Birejang Beuh termasuk dua orang peserta kanak-kanak dan seorang peserta dari bangsa Iban.

“Kelas ini diajar oleh Ozie yang berpengalaman dalam seni ini termasuk tarian Orang Ulu dan ngajat Iban,” katanya.

Dalam pada itu, kelas bergendang Bidayuh atau Onguong Birejang yang diperkenalkan ini menarik penyertaan enam peserta sahaja dan berlangsung di Ibu Pejabat SADIA di Kota Sentosa di Kuching.

Menurut Ozie, tiada antara peserta yang menyertai kelas ini mengetahui nama-nama peralatan yang digunakan untuk bergendang ini apatah lagi memainkan Onguong Birejang.

Meskipun jumlah peserta kurang daripada 10 orang, namun Mabong tetap berpuas hati kerana masih ada dari kalangan anak-anak muda yang berminat untuk mempelajari seni ini.

“Saya pasti ramai anak-anak muda di luar sana yang tidak mengetahui langsung mengenai tarian Birejang Beuh mahupun Onguong Birejang.

“Justeru, saya berharap lebih ramai masyarakat kita terutama bangsa kita Dayak Iban dan juga Bidayuh akan menyertai kelas-kelas kebudayaan yang kita anjurkan ini.

Akademi dalam pada itu sedang dan akan melaksanakan banyak kelas kebudayaan sepanjang bulan Januari ini.

Antaranya termasuklah kelas belajar tarian ngajat Iban dan kelas belajar sape yang sedang berlangsung di RPR Landeh dan Ibu Pejabat SADIA.

Lain-lain kelas kebudayaan yang akan menyusul sepanjang tahun ini ialah ‘betaboh’, ‘gendang pampat’, ‘kuntau’ dan jahitan manik empang Iban di Ibu Pejabat SADIA dan juga cawangan ASADIA di RPR Landeh.

Advertisement