Anda di sini

Pasaran modal Malaysia lebih kukuh menjelang 2050

Advertisement

Kadar celik kewangan generasi muda juga ketara

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd, Datuk Seri Tajuddin Atan, berharap pasaran modal Malaysia akan bertapak lebih kukuh dan maju menjelang 2050 manakala kadar celik kewangan juga ketara khususnya dalam kalangan generasi muda.

“Aspirasi saya menjelang 2050, (ialah supaya) pasaran Malaysia lebih kukuh, maju dan muncul pasaran serantau yang memberi peluang kepada syarikat dan pelabur mendapat akses modal dan pelaburan dengan mudah serta cekap,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika diminta berkongsi aspirasinya mengenai wawasan Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang dilancarkan pada Jumaat lepas.

Agenda TN50 yang diinspirasikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah dasar masa depan yang melakar hala tuju negara bagi tempoh 30 tahun akan datang selepas 2020.

Tajuddin turut menyifatkan TN50 sebagai ‘idea yang cemerlang’.

Merujuk sesi dialog Najib bersama anak muda mengenai TN50 itu, beliau berkata ia bukan sekadar satu platform yang baik untuk generasi alaf baharu berkongsi input dan pandangan mereka, tetapi juga cara terbaik memastikan ia dapat diterima serta menganggap program itu milik mereka.

“Saya rasa pelaksanaan (program) itu akan menjadi lebih mudah dan berkesan,” katanya.

Tajuddin juga berharap semua rakyat Malaysia, terutamanya golongan muda akan menjadi masyarakat menabung yang melangkaui simpanan asas kepada usaha mewujudkan kekayaan.

“Budaya menyimpan dan pemilikan modal sepatutnya dilengkapi dengan pengetahuan kewangan dan pelaburan kerana ia amat kritikal bagi memacu enjin pertumbuhan dalam mana-mana masyarakat sekalipun,” katanya.

Malah, tegasnya, pada tempoh dan usia hari ini, pengetahuan mengenai pelaburan dan kewangan merupakan satu asas serta keperluan untuk semua.

Menurutnya, sejajar maklumat demografi Malaysia yang mana 45 peratus kelompok penduduk muda berusia bawah 25 tahun, juga memerlukan pendidikan sebagai antara teras paling kritikal.

“Kita perlu mempertimbangkan usaha penerapan pendidikan kewangan dan pelaburan ke dalam silibus pendidikan utuk sekolah rendah, menengah dan peringkat asas secara rasmi serta tersusun.

“Ini sudah lama diamalkan di kebanyakan negara maju seperti Jepun dan Amerika Syarikat,” katanya.

Bursa Malaysia juga, katanya, turut menekankan komitmen jangka panjang bagi menggalakkan pengetahuan kewangan dan pelaburan supaya kesannya terhadap perubahan generasi juga dirasai.

Salah satu inisiatif Bursa Malaysia bagi menyokong komitmen itu adalah menerusi platform pasaran sehenti secara maya iaitu Bursamarketplace.com untuk kemudahan generasi alaf baharu.

Ia bertujuan mendemokrasikan akses kepada maklumat kewangan dan pengetahuan pelaburan.

Malah, sejak dilancarkan pada 2014, Bursamarketplace.com setakat ini sudah menarik lebih sejuta pelanggan yang mana lebih 55 peratus daripada mereka berusia bawah 35 tahun. — Bernama

Advertisement