Anda di sini

EcoWorld dan KWSP bergabung untuk majukan perbandaran di Pulau Pinang

Advertisement

KUALA LUMPUR: Eco World Development Group Bhd (EcoWorld) menandatangani perjanjian pemegang saham dan langganan bersyarat (SSA) dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membangunkan tanah seluas 152 hektar di Batu Kawan, Pulau Pinang.

Dalam satu kenyataan semalam, EcoWorld berkata tanah tersebut akan dibangunkan oleh Eco Horizon Sdn Bhd menjadi dua perbandaran pelengkap, dikenali sebagai Eco Horizon dan Eco Sun, yang mempunyai nilai pembangunan kasar RM7.76 bilion.

“Ini adalah usaha sama ketiga Ecoworld dan KWSP selepas kejayaan dua projek di Lembah Klang,” katanya.

Eco Horizon Sdn Bhd (EHSB atau JVCo) ialah anak syarikat EcoWorld.

“Berdasarkan SSA itu, KWSP akan membeli empat juta saham biasa atau 40 peratus kepentingan ekuiti dalam EHSB, dan akan memberi pendahuluan pemegang saham kepada JVCo untuk memberi dana kepada pembangunan yang dicadangkan itu.

“EcoWorld akan terus memiliki 60 peratus JVCo, dan EcoWorld Project Management Sdn Bhd (EWPM), sebuah anak syarikat EcoWorld, akan dilantik sebagai pengurus pembangunan bagi projek tersebut,” kata kumpulan itu.

EcoWorld berkata JVCo akan menandatangani perjanjian lesen jenama dengan EWPM bagi membolehkan Eco Horizon dan Eco Sun dipasarkan sebagai pembangunan istimewa EcoWorld.

Eco Horizon yang membabitkan kawasan seluas 22 hektar, terletak berhampiran persimpangan bertingkat yang menghubungkan Jambatan Kedua Pulau Pinang dengan Lebuh Raya Utara Selatan.

Eco Sun dengan keluasan 30 hektar pula terletak di sepanjang Acassia Town Highway berhampiran Stadium Pulau Pinang. — Bernama

Advertisement