Anda di sini

Syarikat Energesse teroka pasaran Malaysia

Advertisement
 Syarikat teknologi penjagaan kesihatan Australia, Energesse, meluaskan operasinya di Malaysia selepas berjaya menembusi pasaran United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) kata Dr Avnesh. — Gambar Bernama

BERKEMBANG: Syarikat teknologi penjagaan kesihatan Australia, Energesse, meluaskan operasinya di Malaysia selepas berjaya menembusi pasaran United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) kata Dr Avnesh. — Gambar Bernama

Energesse, syarikat teknologi penjagaan kesihatan Australia sudah tembusi UK dan AS

KUALA LUMPUR: Syarikat teknologi penjagaan kesihatan Australia, Energesse, meluaskan operasinya di Malaysia selepas berjaya menembusi pasaran United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).

Energesse ditubuhkan pada 2012 oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dr Avnesh Ratnanesan, seorang rakyat Malaysia.

Beliau berkata antara penyelesaian Energesse bagi pasaran Malaysia ialah platform perisian ‘Membership Engagement Services (MES) Experience’ yang mengumpul laporan dan maklum balas pesakit dalam masa nyata.

Langkah ini membolehkan pekerja barisan hadapan mengendalikan aduan dan mengambil tindakan dengan cepat.

Teknologi tersebut menggunakan algoritma pembelajaran mesin PanSensic yang canggih dan boleh menganalisis trend antaranya dari segi sikap dan komunikasi.

“Ini membolehkan pekerja barisan hadapan memahami isu dengan terperinci dan melakukan penambahbaikan yang berkesan untuk pesakit, pengguna dan keluarga mereka,” kata Dr Avnesh kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata Energesse telah menerima pembiayaan daripada dana pelaburan swasta Malaysia.

“Kami dalam peringkat perbincangan dengan pihak berkepentingan dan eksekutif kanan hospital swasta Malaysia pada masa ini.

“Mereka telah meminta cadangan tentang bagaimana perkhidmatan teknologi kami boleh dilaksanakan di hospital mereka,” katanya.

Menurut Dr Avnesh, Energesse akan memperkenalkan penyelesaian teknologi yang telah membantu organisasi dalam pasaran maju untuk mengurangkan kos dan meningkatkan kualiti rawatan penjagaan kesihatan.

“Energesse telah mengetuai projek-projek di hospital, dalam kalangan syarikat insurans kesihatan, syarikat penjagaan kesihatan dan sektor awam di AS, UK dan Australia,” katanya.

Beliau berkata terdapat peluang yang besar untuk meningkatkan kematangan pengalaman pesakit di hospital di Malaysia sejajar dengan negara maju.

“Kami memperkenalkan teknologi ‘maklum balas masa nyata’ yang pertama di negara ini yang boleh menganalisis emosi pesakit dan pendapat melalui kajian maklum balas,” katanya.

Beliau berkata Energesse bekerjasama dengan MES rakan kongsi di UK, perunding komunikasi, mengenai platform perisiannya, untuk membantu meningkatkan keupayaan perkhidmatan pelanggan hospital swasta di Malaysia.

Ini khusus untuk memenuhi permintaan pelancong perubatan dari luar negara dan pesakit Malaysia yang mahukan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi.

“Australia dan UK merupakan dua negara pertama yang Energesse dan MES berjaya melaksanakan teknologi perisian MES Experience,” katanya.

Dr Avnesh berkata teknologi tersebut digunakan di Western Sydney Local Health District dengan penduduk kira-kira 900,000 orang.

Teknologi MES, katanya, dapat meningkatkan prestasi penjagaan kesihatan di Malaysia dengan perkhidmatan hospital memberi tindak balas dengan lebih cepat terhadap maklum balas dan aduan pesakit.

“Ini berdasarkan kepada dapatan kajian yang menunjukkan hospital dengan pengalaman pesakit dan perkhidmatan pelanggan yang berkualiti tinggi lebih 2.5 kali menguntungkan berbanding hospital yang memberi kualiti perkhidmatan yang lemah.

“Kami melihat Malaysia mempunyai potensi pertumbuhan yang besar untuk menaik taraf penawaran perkhidmatannya dan penjagaan pesakit dalam sistem penjagaan kesihatan,” katanya.

Dr Avnesh berpendapat Malaysia mempunyai potensi yang kukuh dalam pelancongan perubatan dengan memiliki pakar dan doktor yang terlatih, selain kakitangan perubatan yang boleh berbahasa Inggeris.

“Prosedur perubatan juga agak murah di sini berbanding negara Barat,” katanya.

Bagaimanapun, katanya kos penjagaan kesihatan yang meningkat bermakna terdapat keperluan bagi pengurangan yang cekap dan mengenal pasti bidang yang memerlukan pelaburan dan penambahbaikan.

Dr Avnesh mempunyai sejarah dalam industri penjagaan kesihatan Malaysia.

Mendiang bapanya, Datuk Dr Ratnanesan Arumugam merupakan seorang doktor pergigian terkemuka di Malaysia, pernah memegang jawatan sebagai Presiden Persekutuan Pergigian Dunia, Persatuan Pergigian Komanwel dan selama tujuh tahun menerajui Persatuan Pergigian Malaysia.

“Saya mendapat inspirasi daripada pencapaian luar biasa beliau dan percaya Energesse boleh menjadi peneraju dunia dalam industri penjagaan kesihatan pada masa akan datang,” katanya.

Dr Avnesh, yang mendapat latihan sebagai doktor perubatan di UK dan bekerja sebagai pengamal perubatan di Australia, turut berminat untuk memberi sumbangan yang besar kepada industri penjagaan kesihatan dan pesakit di Malaysia.

Beliau berharap dapat memberi impak yang besar kepada industri kesihatan Malaysia melalui pengalaman luas beliau dalam industri bioteknologi dan farmaseutikal dengan organisasi terkemuka seperti Pfizer Australia.

Dr Avnesh menekankan bahawa sejak 2012, Energesse telah memberi kesan kepada 107,140 orang melalui perkhidmatan dan penyelesaiannya dalam industri penjagaan kesihatan.

Beliau berkata Energesse telah melaksanakan projek di Australia bagi syarikat gergasi insurans kesihatan seperti BUPA, agensi kerajaan persekutuan Australia dan klinik pakar kesuburan.

“Kami menyasarkan untuk memberi kesan kepada satu bilion orang di peringkat global menjelang 2040 melalui penyelesaian penjagaan kesihatan kami dan meningkatkan standard dalam industri untuk memberi perkhidmatan yang cekap dan meningkatkan pengalaman pesakit,” katanya.  — Bernama

Advertisement