Anda di sini

Menara Sarawak Energy kekalkan rating perak GBI

Advertisement

 Menara Sarawak Energy ditauliahkan semula dengan pensijilan GBI.

MESRA ALAM: Menara Sarawak Energy ditauliahkan semula dengan pensijilan GBI.

KUCHING: Menara Sarawak Energy yang merupakan ibu pejabat Sarawak Energy mengekalkan rating perak indeks bangunan hijau (GBI) sebagai seni bina yang terus menepati keperluan penilaian pengesahan kecekapan tenaga.

Menara Sarawak Energy merupakan bangunan pertama di Malaysia Timur yang ditauliahkan pensijilan bangunan hijau di bawah Kategori Pembinaan Baru Bukan Kediaman pada 2013.

Pensijilan GBI ini adalah sah untuk tempoh tiga tahun.

Mengulas mengenai pencapaian ini, Naib Presiden Eksekutif Perkhidmatan Korporat Sarawak Energy Aisah Eden berkata, kejayaan ini menggambarkan komitmen Sarawak Energy ke arah amalan kelestarian di semua peringkat operasi.

“Kami gembira kerana telah mengekalkan rating ini dan kami berharap untuk memperbaikinya meskipun ia bukan tugas yang mudah dari segi penyelenggaraan.

“Bagaimanapun, pembaharuan pensijilan ini menjadi motivasi kepada kami untuk melakukan lebih banyak lagi dan kami sedang mempromosikan tabiat ini dalam kalangan staf kami.

“Pada masa sama kami juga menyebarkan kepada dunia mengenai kecekapan tenaga dan menyediakan tips mengenai bagaimana untuk melakukannya di pejabat dan rumah,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Dalam pada itu penilaian pengesahan telah dilakukan pada Disember tahun lepas oleh Panel Pertauliahan GBI bersama dengan Fasilitator Pertauliahan GBI dan Pakar Bertauliah.

Antara kriteria yang dinilai ialah kecekapan tenaga, kualiti persekitaran dalaman, pengurusan dan perancangan tapak kelestarian, sumber dan bahan, kecekapan air dan inovasi.

Menara Sarawak Eenergy siap pada 2012 dan dari awal ia direka mengikut keperluan GBI Malaysia bagi kecekapan tenaga.

Seni bina bangunan ini fokus kepada penggunaan sumber yang cekap pada masa yang sama menyediakan persekitaran kerja yang kondusif dengan impak minimal kepada persekitaran dan kesihatan.

 

Advertisement