Anda di sini

Standard Chartered, Allianz jalin perkongsian

Advertisement

Ia merangkumi pengedaran produk insurans am Allianz kepada pelanggan di lima pasaran utama Asia

KUALA LUMPUR: Standard Chartered Bank dan Allianz menjalin perkongsian dengan memeterai perjanjian bancassurance bagi tempoh 15 tahun.

Ia merangkumi pengedaran produk insurans am Allianz kepada pelanggan perbankan runcit Standard Chartered di lima pasaran utama di seluruh Asia.

Perjanjian perkongsian baharu itu di Malaysia, Hong Kong, Singapura, Indonesia dan China akan dilaksanakan sepanjang tahun 2017, kata kedua-dua syarikat itu dalam satu kenyataan bersama, di sini, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbankan Runcit Standard Chartered Bank, Karen Fawcett berkata:”Perkongsian itu menggabungkan kepakaran satu daripada syarikat insurans utama dunia dengan rangkaian menyeluruh pengedaran kami”.

“Ia termasuk menerajui saluran perbankan digital, untuk menawarkan pelanggan perbankan runcit akses selesa kepada penyelesaian berkualiti bagi keperluan perlindungan mereka.

“Bancassurance adalah fokus utama bagi Standard Chartered, ketika kami terus berinovasi dan mengembangkan penawaran kami bagi memenuhi keperluan pelanggan kami di cawangan dan dalam talian,” katanya.

Produk Allianz juga akan disediakan untuk pengedaran menerusi platform bancassurancs digital proprietari bagi pelanggan khusus.

Sementara itu, CEO Allianz Asia Pacific Regional George Sartorel berkata perkongsian tersebut dijalin berasaskan kepada komitmen bersama ke arah pertumbuhan dan pembangunan rantau Asia.

“Ia sejajar dengan hasrat Allianz untuk mengembangkan kedudukan kami di rantau ini dan memacu nilai yang lebih tinggi bagi pelanggan dan kakitangan,” katanya.

Permintaan insurans bukan hayat di Malaysia dijangka berkembang pada 6.6 peratus setahun dalam tempoh empat tahun akan datang.

Sementara itu, pasaran insurans bukan hayat Asia diunjur bernilai lebih AS$280 bilion menjelang 2020, dirangsang daripada pertumbuhan pasaran sedang pesat membangun dan peningkatan kadar penembusan insurans. — Bernama

Advertisement