Anda di sini

Saham Silk diniagakan aktif

Advertisement

Ekoran pengumuman penjualan aset konsesi tol kepada PNB

KUALA LUMPUR: Saham Silk Holdings Bhd diniagakan secara aktif semalam susulan pengumuman penjualan aset konsesi tol kepada Permodalan Nasional Bhd (PNB) pada RM380 juta.

Pada jam 3.01 petang, saham itu meningkat empat sen kepada 44.5 sen dengan 15.14 juta saham diniagakan.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia kelmarin, Silk berkata, ia menandatangani perjanjian penjualan saham bersyarat dengan PNB untuk menjual 100 peratus modal saham terbitan dan berbayar Sistem Lingkaran-Lebuh Raya Kajang Sdn Bhd (SILK Highway) pada RM380 juta.

Menurut Silk, ia berhasrat memperuntukkan sehingga RM200 juta bagi pelaburan masa depan, termasuk meningkatkan dan memperkukuhkan perniagaan perkhidmatan sokongan marin luar pesisir serta pelaburan dalam perniagaan berkaitan dalam segmen minyak dan gas, di samping peluang pelaburan berdaya maju lain yang akan dikenal pasti.

Syarikat turut menyediakan sehingga RM70 juta untuk pengagihan kepada pemegang sahamnya serta RM110 juta bagi korporat am, modal kerja dan lain-lain, menurut Silk.

“Tertakluk kepada semua kelulusan berkaitan yang diperolehi dan beberapa syarat yang dipenuhi, termasuk penyiapan kajian daya maju, cadangan penjualan itu dijangka selesai pada suku pertama 2017,” menurut Silk.

Silk merupakan pemegang konsesi Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (Lebuh Raya SILK) sepanjang 37 kilometer di bawah perjanjian konsesi berkuat kuasa 8 Okt, 1997 untuk membiayai, mereka bentuk, membina, mengendali dan menyelenggara lebuh raya itu selama 36 tahun berakhir pada 31 Julai, 2037.

Lebuh raya tersebut merupakan laluan urban utama di wilayah tenggara Lembah Klang, menghubungkan Balakong, Sungai Long, Kajang, Bangi, Serdang dan Putrajaya. — Bernama

Advertisement