Anda di sini

PDK latih anak-anak OKU jadi kuat, aktif dan berkemahiran

Advertisement

// Oleh Mastura Ismail //

 Pelatih PDK menyertai aktiviti merdeka.

PATRIOTRIK: Pelatih PDK menyertai aktiviti merdeka.

LAHIR sebagai anak-anak istimewa tidak pernah membuatkan para pelatih Orang Kurang Upaya (OKU) di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) berasa rendah diri dan terpinggir.

Malah mereka dilatih dan dididik dengan pelbagai kemahiran asas untuk menjadikan mereka golongan yang kuat, aktif dan mempunyai kemahiran serta kebolehan tersendiri.

PDK bukan saja berperanan sebagai pusat untuk menyediakan tempat tinggal kepada mereka, pada masa sama ia berfungsi sebagai pusat pembelajaran bagi membentuk kebolehan dan kelebihan yang mereka miliki.

Malah PDK Limbang menempatkan dan menyediakan suasana pembelajaran kondusif bagi anak-anak OKU.

Pada masa sama PDK Limbang turut mempunyai kaedah pembelajaran serta program-program pendidikan dalam dan luar kelas yang menarik dan menimbulkan minat kepada mereka.

Pelbagai program diatur untuk memberi peluang kepada para pelatih melibatkan diri dan menunjukkan kemahiran dalam pelbagai bidang tertentu.

Antara program yang dilaksanakan di bawah PDK Limbang termasuk kelas vokasional, kraf tangan manik, aktiviti muzik terapi, PDK Ku Sihat, senam pagi, sukaneka merdeka sempena sambutan Hari Merdeka, vokasional jahitan, kursus asas terapi, Program Bumi Hijau dan pelbagai aktiviti lain.

Lebih memberi makna, Menteri Muda Kebajikan dan Kesejahteraan Komuniti Dr Abdul Rahman Ismail turut hadir pada program PDK Ku Sihat.

Turut sama ialah isteri Dr Abdul Rahman yang juga wakil SABATI dan Pengerusi PERKIM Limbang Dayang Maimunah Awang Mohd Daud, Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Limbang Siti Afiah Samat, Pengerusi PDK Limbang Goh Eng Hock dan Penyelia PDK Limbang Norlila Mahmud.

Program PDK Ku Sihat memfokus kepada cara hidup sihat untuk membudayakan pemakanan sihat dan aspek aktiviti dalam kalangan pelatih supaya kesihatan mereka dapat ditingkatkan.

Penilaian status kesihatan pelatih PDK juga diadakan bersama anggota kesihatan di samping nasihat serta bimbingan pemakanan sihat melalui demonstrasi dan ceramah.

 Pelatih begitu teruja menggunakan pelbagai peralatan muzik.

BENTUK KEBOLEHAN: Pelatih begitu teruja menggunakan pelbagai peralatan muzik.

Advertisement