Anda di sini

Bank Negara kekalkan kadar dasar semalaman 3.00 peratus

Advertisement

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.

BNM berkata pada kadar semasa OPR, tahap akomodatif monetari adalah konsisten dengan pendirian dasar untuk memastikan ekonomi dalam negeri terus berada pada landasan pertumbuhan mampan dalam keadaan inflasi teras yang stabil serta disokong oleh pengantaraan kewangan dalam ekonomi.

“Meskipun risiko ketidakseimbangan kewangan dapat dibendung, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) akan memantau risiko ini bagi memastikan prospek pertumbuhan keseluruhan yang mampan.

“MPC akan terus menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan domestik dan inflasi,” kata bank pusat itu dalam satu kenyataan selepas mesyuarat MPC pertama bagi tahun ini, semalam.

BNM berkata ekonomi global terus berkembang pada kadar yang sederhana, manakala aktiviti ekonomi di negara-negara maju telah meningkat dan pertumbuhan di Asia disokong oleh permintaan dalam negeri dalam keadaan permintaan luaran yang semakin bertambah pulih.

Bagaimanapun, peningkatan ketidakpastian dan risiko pertumbuhan global menjadi lebih perlahan masih berterusan disebabkan oleh risiko perlindungan perdagangan, perkembangan geopolitik dan turun naik pasaran komoditi, kata bank pusat.

“Semua risiko ini juga boleh menyebabkan pasaran kewangan menjadi lebih tidak menentu,” kata bank pusat.

Bagi Malaysia, BNM berkata petunjuk terkini menunjukkan pertumbuhan yang berterusan pada suku keempat 2016.

Bank pusat berkata inflasi keseluruhan mencatat purata 2.1 peratus pada 2016 dan dijangka meningkat pada 2017, dalam keadaan prospek kenaikan harga minyak dunia.

“Keadaan turun naik ringgit, bersama dengan mata wang pasaran sedang pesat membangun lain berkurang sejak mengalami penyelarasan yang setara pada akhir 2016,” kata bank pusat.

Mengenai perkembangan lain, BNM berkata ia akan terus menyediakan mudah tunai bagi memastikan pasaran kewangan dapat berfungsi dengan teratur.

Bank pusat berkata keadaan tidak menentu dalam ekonomi global, persekitaran dasar dan perkembangan geopolitik mungkin menyebabkan berlakunya turun naik dalam pasaran kewangan dan pertukaran asing serantau. — Bernama

Advertisement