Anda di sini

28 pemain kibar cabaran Sarawak diperkenal

Advertisement

Skuad Liga Super 2017 negeri tampil 21 pemain tempatan, tiga import tempatan dan empat import asing

// Oleh Harry Ilias //

 Pemain dan jurulatih pasukan Sarawak 2017 bergambar bersama Abdul Wahab, Kameri (belakang, tengah) dan tetamu lain. — Gambar Chimon Upon

SERBA BAHARU: Pemain dan jurulatih pasukan Sarawak 2017 bergambar bersama Abdul Wahab, Kameri (belakang, tengah) dan tetamu lain. — Gambar Chimon Upon

KUCHING: Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) memperkenalkan 28 pemain untuk mengibar cabaran Sarawak pada kempen Liga Super 2017 yang akan bermula esok.

Pada musim ini, pasukan berwajah baharu itu menampilkan 21 pemain tempatan, tiga import tempatan dan empat import asing.

Mereka ialah Tommy Mawat, Nur Shamie Iszuan Amin, Abdul Rahim Abdul Razak, Mateo Roskam, Lee Jong-ho, Mark Andrew Hartmann, Mohd Hafiz Abu Bakar, Hafis Saperi, Shahrol Saperi, Shreen Tambi, Dalglish Papin Test, Alexander Jerome, Awang Kamaruddin Awang Bohan, Ronny Harun (kapten), Izray Iffarul Roslan, Demerson Bruno Costa, Rodney Akwensivie, Dzulfadli Awang Marajeh, Hairol Mokhtar, Ramesh Lai, Dzulazlan Ibrahim, Mohd Najmudin Mat Noor, Alif Hassan, Mazwandi Zekeria, Zul Mohi, Aidil Mohammad, Florian Rison Laes dan Shahril Saa’ri.

Semua pemain diperkenalkan pada Majlis Pelancaran Jersi dan Pemain-Pemain Sarawak 2017 bertempat di Pusat Beli-Belah CityOne di sini semalam dan disempurnakan oleh Timbalan Presiden FAS, Abdul Wahab Rahim.

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Solidariti (KBSS) Kameri Affandi, Pengarah Urusan LEA Group of Companies Raymond Sim Hee Pang, Naib-Naib Presiden FAS dan wakil-wakil penaja.

Turut diperkenalkan lima varian warna jersi baharu Sarawak yang akan digunakan sepanjang Liga Malaysia 2017.

Jersi baharu itu tampil dengan rekaan lebih bersifat ‘Sarawakian’, menampilkan corak motif suku kaum Orang Ulu di hadapan setiap jersi.

Warna merah kekal sebagai jersi pemain untuk perlawanan tempat sendiri, manakala hijau atau hitam untuk perlawanan di gelanggang lawan.

Penjaga gol pula akan mengenakan jersi berwarna kuning atau oren.

Terdahulu, Abdul Wahab mewakili Presiden FAS, Dato Posa Majais dalam ucapannya menyatakan setinggi penghargaan terhadap bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem atas sokongan beliau terhadap pasukan Sarawak.

“Beliau merupakan antara peminat nombor satu pasukan bola sepak Sarawak. Sebelum Allahyarham dilantik menjadi Ketua Menteri Sarawak lagi, Allahyarham kerap kali dilihat hadir ke stadium menyaksikan beberapa perlawanan yang melibatkan pasukan Ngap Sayot tanpa mengira panas mahupun hujan.

“Apabila Allahyarham dilantik menjadi Ketua Menteri Sarawak yang ke-5, Allahyarham telah menyatakan komitmen untuk membantu dan melihat pasukan bola sepak Sarawak maju seperti pasukan-pasukan bola sepak yang lain yang ada di negara ini.

“Antara komitmen yang Allahyarham berikan ialah dengan menggalakkan beberapa syarikat besar di Sarawak untuk tampil sebagai penaja pasukan Ngap Sayot untuk musim kali ini,” katanya.

Beliau juga optimis skuad Sarawak akan bertambah maju di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sarawak yang baru, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg kerana beliau juga peminat pasukan bola sepak Sarawak.

Abdul Wahab turut menyatakan penghargaan ke atas barisan penaja skuad Sarawak pada musim ini iaitu Sarawak Energy Berhad, Lea Group Of Companies, Rimbunan Hijau (Rh) Group, Sacofa Sdn Bhd dan beberapa penaja lain.

“Saya mewakili FAS mengucapkan jutaan penghargaan dan terima kasih khas kepada Lea Group Of Companies kerana terus setia selama 27 tahun menjadi penaja utama pasukan bola sepak Sarawak. Bukan sahaja untuk pasukan utama, tetapi skuad Piala Presiden kita.

“Biarpun prestasi pasukan ada turun naiknya, namun Lea Group Of Companies tetap setia menjadi rakan kita lebih daripada dua dekad.

“Kita percaya akan lebih banyak lagi penaja-penaja tampil untuk memberi sokongan kepada pasukan Sarawak pada kali ini,” katanya.

Skuad Sarawak akan memulakan kempen Liga Super 2017 menentang T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah esok (Sabtu, 21 Januari).

Advertisement