Anda di sini

Warga Sri Aman beri penghormatan terakhir kepada Allahyarham Adenan

Advertisement

// Oleh Kelvin Lambai //

 Harden (tengah) bergambar kenangan bersama ahli-ahli SUPP Simanggang, Cabang Wanita di hadapan potret Allahyarham Adenan.

PEMIMPIN DISAYANGI: Harden (tengah) bergambar kenangan bersama ahli-ahli SUPP Simanggang, Cabang Wanita di hadapan potret Allahyarham Adenan.

WARGA Sri Aman tidak ketinggalan memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dengan menyalakan lilin dan meletakkan gambar Allahyarham di Bangunan Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Chuan Khor Simanggang di Sri Aman, baru baru ini.

Upacara menyalakan lilin sambil bertafakur seminit bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham itu adalah anjuran bersama Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Simanggang, Lingga dan Pantu.

Lebih 200 ahli parti dari ketiga-tiga cawangan berkenaan termasuklah Cabang Pemuda dan Wanita hadir bagi menyalakan lilin sambil meletakkan bunga di hadapan potret Allahyarham.

Menteri Muda Ekonomi Luar Bandar dan Perladangan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang yang juga Pengerusi SUPP Simanggang Datuk Francis Harden Hollis berkata, upacara itu diadakan sebagai tanda kasih sayang mendalam warga Sri Aman, khususnya warga SUPP terhadap bekas Ketua Menteri Sarawak yang kelima itu.

“Sebagai melahirkan perasaan sedih atas kehilangan Allahyarham, pihak kami telah bergabung dari tiga cawangan untuk mengadakan upacara ini pada malam ini,” ujarnya ketika ditemui Utusan Borneo.

Dalam pada itu katanya, sepanjang perjalanan Allahyarham menyandang jawatan Ketua Menteri, pelbagai pembangunan telah dirasai oleh seluruh rakyat Sarawak.

“Tidak kurang juga kita melihat, pelbagai pembangunan sedang dilaksanakan di Sri Aman dan ini termasuklah laluan Pan Borneo yang sedang rancak dilaksanakan dari Lundu sehingga ke Lawas,” katanya lanjut.

Turut serta pada upacara berkenaan, Penasihat Persatuan Soon Heng Simanggang Datuk Tan Chong Meng, Pemanca Lee Siang Hua, Pengerusi SUPP Lingga Kapitan Kuek Aik Seng merangkap Pengerusi Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Chuan Khor Simanggang, Ketua Wanita SUPP Simanggang Ling Siew Hung serta ahli-ahli parti yang lain.

 Ahli-ahli SUPP menyalakan lilin sebagai tanda penghormatan terakhir kepada Allahyarham Adenan.

NYALAKAN LILIN: Ahli-ahli SUPP menyalakan lilin sebagai tanda penghormatan terakhir kepada Allahyarham Adenan.

Advertisement