Anda di sini

Pelaburan hartanah dijangka lebih popular

Advertisement

Pulangan ke atas pelaburan dalam sektor hartanah semakin tinggi berbanding sektor lain

KUALA LUMPUR: Pelaburan hartanah secara relatifnya dijangka lebih popular berbanding pelaburan lain di negara ini pada 2017, kata firma perunding hartanah, CH Williams Talhar & Wong Sdn Bhd.

Pengarah Urusannya Foo Gee Jen berkata, ini sebahagian besarnya disebabkan oleh pulangan ke atas pelaburan dalam sektor hartanah semakin tinggi, kira-kira 5.2 peratus berbanding pulangan daripada bon, pasaran saham dan dana mutual pada kira-kira dua hingga tiga peratus.

“Bagaimanapun, jangkaan kami ke atas pasaran hartanah tahun ini tidak banyak berubah, sebahagian besarnya disebabkan oleh harga komoditi yang rendah dan pertumbuhan ekonomi yang terus perlahan di negara utama, selain ketidaktentuan politik,” katanya pada pembentangan Unjuran Pasaran Hartanah Asia Pasifik 2017 di sini semalam.

Beliau berkata, permintaan dijangkakan meningkat untuk perumahan mampu milik berharga kurang daripada RM400,000.

Pasaran hartanah juga dijangkakan bertahan dan stabil dengan harga yang lebih realistik,” katanya.

Foo berkata bidang pertumbuhan dijangkakan bertumpu ke atas penyambungan pengangkutan yang baik, dan menerusi kedudukan demografik yang baik, hartanah kediaman akan terus disokong.

“Antara penyambungan pengangkutan ialah Kereta Api Laju (HSR) KL-Singapura, Mass Rapid Transit (MRT) Laluan I dan II, Light Rail Transit 3 dan Lebuh Raya Pantai Barat,” katanya.

Beliau berkata cadangan HSR, Kereta Api Pantai Timur (KL-Tumpat, MRT 2 & 3, Kereta Api Gemas-JB, MTR Singapura (sambungan ke Johor Bahru), Seremban-Port Dickson dan Lebuh Raya Pan Borneo, juga akan membuka lebih banyak peluang untuk pusat pertumbuhan baharu dan merangsang aktiviti ekonomi di sepanjang laluan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata ramai yang menjangkakan harga hartanah akan meneruskan aliran harga menurun pada 2017 selain peningkatan jumlah kediaman kosong.

“Ketidakupayaan generasi muda bekerja untuk membeli rumah disebabkan kadar harga rumah yang semakin meningkat dan peraturan pinjaman yang ketat, merupakan antara isu mendesak yang dihadapi negara,” kata Foo.

Beliau berkata pemaju menghadapi satu lagi tahun yang sangat mencabar disebabkan kos pembinaan yang semakin meningkat ekoran penyusutan ringgit, termasuk harga minyak mentah yang lebih tinggi, kenaikan tarif elektrik selain kekurangan tenaga kerja.

“Dalam jangka pendek, pelabur dan pemaju akan memberi tumpuan kepada tindakan untuk mengambil kira risiko dalam pasaran yang kukuh, meneruskan pembangunan dalam pasaran yang menghadapi kekurangan bekalan dan membida aset strategik pegangan jangka panjang yang mampu bertahan jika berlaku kelembapan,” kata Foo. — Bernama

Advertisement