Anda di sini

Konglomerat Asia Tenggara dijangka bergabung

Advertisement

Persekitaran kini mencabar sedangkan konglomerat serantau memiliki terlalu banyak perniagaan

KUALA LUMPUR: Firma-firma konglomerat di Asia Tenggara berkemungkinan besar perlu bergabung dalam tempoh jangka panjang berikutan persekitaran perniagaan yang mencabar, kata firma perunding pengurusan, Bain & Company Malaysia Inc.

Rakan kongsi syarikat itu, Till Vestring berkata ini berikutan status konglomerat serantau yang memiliki terlalu banyak perniagaan dan pada akhirnya perlu digabungkan atau berkemungkinan menjual kepentingan demi kelancaran operasi.

“Kami sendiri melihat usaha penggabungan dan pengambilalihan (di Asia Tenggara) semakin ketara. Malah konglomerat ini membuat perubahan terhadap portfolio masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sesi meja bulat ‘How Conglomerates in Southeast Asia Can Live Long and Prosper’ (Bagaimana Konglomerat Di Asia Tenggara Mampu Bertahan Dan Maju) di sini, semalam.

Bagaimanapun, firma perunding itu tidak menjangkakan gelombang penggabungan seterusnya dalam sektor perkhidmatan kewangan atau telekomunikasi di rantau ini.

Mengikut kajian firma itu, konglomerat Asia Tenggara yang melaksanakan 10 atau lebih urus niaga dari segi pengambilalihan dan pengurangan kepentingan atau jualan, dapat mencapai jumlah median pulangan pemegang saham sebanyak 13 peratus antara 2011 dan 2015 berbanding dua peratus untuk konglomerat yang tidak melakukan langkah berkenaan.

Kajian itu turut menunjukkan kecuali Filipina dan Vietnam, syarikat-syarikat terkemuka di Asia Tenggara menyaksikan pertumbuhan perolehan negatif dalam tempoh berkenaan, antaranya disebabkan oleh persaingan sengit.

Vestring berkata pasaran sama yang diwujudkan oleh Komuniti Ekonomi ASEAN akan dapat memacu serta menyediakan peluang kepada konglomerat untuk mencatat kejayaan di luar pasaran masing-masing.

Sementara itu, Penasihat Kanan Bain & Company, Shahazwan Harris pula berkata konglomerat dan perniagaan yang mempunyai tumpuan tunggal di Asia Tenggara juga sudah mula mengambil alih syarikat teknologi bagi menyokong operasi semasa mereka.

“Jumlah transaksi di Malaysia agak baik, terutamanya dalam teknologi modal teroka. Banyak teknologi yang dilihat (berlaku) di Malaysia namun dalam saiz lebih kecil. Urus niaga penggabungan dan pengambilalihan yang lebih besar sebaliknya lebih banyak dicatatkan di Singapura dan Thailand,” katanya. — Bernama

Advertisement