Anda di sini

Pemegang kad digesa mula guna pin bantu tangani masalah awal pelaksanaan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pemegang kad kredit dan debit perlu mula menggunakan Nombor Pengenalan Peribadi (PIN) mereka bagi urus niaga untuk membantu Bank Negara Malaysia (BNM) dan industri perbankan mengesan dan menyelesaikan masalah awal dalam pelaksanaannya.

Pengarah Jabatan Dasar Sistem Pembayaran BNM Tan Nyat Chuan berkata, peralihan kepada kad berasaskan PIN dijangka selesai dalam masa sebulan dua ini dan pemegang kad perlu membiasakan diri menggunakan PIN bagi tempoh enam bulan akan datang sebelum keupayaan tandatangan di terminal jualan (POS) ditamatkan pada 1 Julai.

“Usaha dan sokongan padu dalam peralihan itu adalah kunci bagi memastikan kejayaannya.

“Peralihan kepada pembayaran elektronik (e-pembayaran) adalah pemboleh utama bagi kecekapan, produktiviti dan daya saing ekonomi yang lebih tinggi,” katanya dalam temu bual media bersempena dengan Karnival Kewangan 2017 selama tiga hari anjuran BNM yang berakhir kelmarin.

Tan berkata, dalam Pelan Sektor Kewangan 2011-2020, BNM memulakan usaha untuk mengubah landskap pembayaran dengan beralih daripada tunai dan cek kepada cara pembayaran elektronik lebih selamat yang akan membawa kepada penjimatan kos dan peningkatan kecekapan, yang seterusnya meningkatkan daya saing negara.

Beliau berkata bank pusat menyasar mengurangkan urus niaga cek sebanyak separuh pada 2020 daripada 205 juta cek setahun pada 2011 dan sasaran itu dijangka dapat dicapai dengan penurunan ketara sebanyak 35 peratus penggunaan cek pada 2016 sebanyak 134 juta urus niaga cek.

Instrumen utama untuk menggantikan cek adalah perkhidmatan pindahan dana elektronik iaitu Interbank GIRO (IBG) dan Pindahan Dana Segera yang boleh diakses kepada 99 peratus daripada pemegang akaun simpanan dan semasa.

“Dalam usaha membetulkan petanda harga, pada Mei 2013 fi IBG diturunkan daripada RM2 kepada 10 sen dan fi cek dinaikkan kepada 50 sen pada Januari 2015 untuk menggalakkan orang awam melakukan lebih banyak e-pembayaran.

“Hasilnya, kuantiti IBG dan Pindahan Segera meningkat 292 peratus daripada 66 juta setahun kepada kira-kira 260 juta pada 2016,” katanya.

Keseluruhannya, beliau berkata momentum bagi peralihan cek berjalan dengan sangat lancar, tetapi bahagian tunai berdepan cabaran lebih besar.

Apabila ekonomi berkembang, lebih banyak tunai diperlukan untuk menyokong aktivitinya dan BNM terpaksa mencetak lebih banyak wang kertas, yang perlu diproses oleh bank untuk menyediakan kepada pengguna akhir menerusi mesin ATM dan proses itu akan berulang, justeru memberikan kos yang besar kepada negara, katanya.

Bagi membendung peningkatan wang tunai, beliau berkata BNM berharap rakyat akan mengubah sikap mereka dan menggunakan kad debit dalam pembayaran mereka, yang mana kad ATM mereka juga adalah kad debit.

“Pada masa lalu, tidak ramai orang menggunakan kad debit berbanding tunai yang saya percaya ia disebabkan kurang kesedaran dan kemungkinan juga tabiat,” katanya.

Sementara itu, kebanyakan terminal POS juga hanya didapati di perniagaan besar kerana kadar diskaun peniaga (MDR) mungkin tidak termampu kepada peniaga kecil dan justeru itu, kurang peluang untuk menggunakan kad debit.

Bagi merangsang penggunaan kad debit untuk menggantikan tunai, BNM mengeluarkan rangka kerja pada 2015 bagi menangani masalah dan memastikan kos penerimaan kad pembayaran adil dan berpatutan.

Rangka kerja itu menyaksikan fi pertukaran bagi kad debit dikurangkan yang membawa kepada penurunan MDR.

Tan berkata penggunaan kad debit kini meningkat dengan pantas berbanding kad kredit, dengan urus niaga meningkat daripada 23 juta pada 2011 dan diunjurkan hampir 96 juta pada akhir 2016.

Beliau berkata pertumbuhan kad kredit dari 2011-2016 adalah kira-kira 20 peratus, manakala kad kredit meningkat antara dua dan empat peratus bagi tempoh yang sama, menunjukkan trend yang semakin ramai orang kurang mengambil tunai daripada mesin ATM, dan sebaliknya menggunakannya terus di terminal POS.

Mengenai peralihan kepada kad pembayaran berasaskan PIN, beliau menjelaskan ia adalah satu daripada inisiatif bagi meningkatkan keselamatan prasarana kad pembayaran.

Malaysia mengambil langkah berani untuk beralih kepada cip pada 2005 bagi membendung masalah penipuan daripada berleluasa.

Selepas menggunakan cip bagi tempoh yang agak lama, Tan berkata negara kini beralih ke tahap yang lebih tinggi membolehkan PIN digunakan di POS untuk menjadikan kad e-pembayaran lebih selamat.

Mengenai kebimbangan pembayaran tanpa sentuh tidak selamat, beliau berkata dengan fungsi-fungsi tanpa sentuh ditetapkan di cip, akan sukar untuk membuat penipuan.

Jikapun sekiranya penipu dapat mencuri data daripada cip, beliau berkata ketika ini mereka masih tidak mampu menghasilkan kad cip lain kerana teknologi itu menggunakan kriptografi maju yang dapat menghalang ia daripada diklon.

Tan berkata malahan urus niaga e-dagang akan menjadi tugas sukar bagi penipu kerana pemegang kad dilindungi oleh sistem pemantauan penipuan seperti apabila berlaku aktiviti luar biasa pemilik kad akan diberi peringatan oleh bank, serta memerlukan pengesahan menerusi kata laluan sekali yang akan dihantar ke peranti mudah alih. — Bernama

Advertisement