Anda di sini

Eksport sektor komoditi disasar meningkat 5-8%

Advertisement

Pasaran sedia ada diperkukuh, pasaran baharu diteroka

 Mah bersama warga Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi melafazkan ikrar pada majlis perhimpunan bulanan kementerian itu dan Amanat Tahun Baharu, semalam. Turut hadir Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi  Datuk Datu Nasrun Datu Mansur (kiri) dan Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk M. Nagarajan (dua, kanan). — Gambar Bernama

IKRAR: Mah bersama warga Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi melafazkan ikrar pada majlis perhimpunan bulanan kementerian itu dan Amanat Tahun Baharu, semalam. Turut hadir Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Datu Nasrun Datu Mansur (kiri) dan Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk M. Nagarajan (dua, kanan). — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Sektor komoditi disasar mencatatkan pertumbuhan pendapatan eksport lima ke lapan peratus tahun ini, dengan pengukuhan penguasaan pasaran sedia ada dan penerokaan pasaran baharu, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong.

Pengukuhan sektor komoditi pada tahun ini akan dicapai melalui rundingan perdagangan bebas dengan Iran selain tinjauan pasaran baharu di Asia Barat dan selatan Eropah, katanya.

Menurutnya sektor komoditi mencatatkan pertumbuhan nilai eksport sebanyak 3.2 peratus pada Januari hingga November tahun lalu berbanding tempoh yang sama pada 2015 kepada RM110.6 bilion.

“Saya yakin jumlah keseluruhan nilai eksport komoditi untuk 2016 akan mengatasi nilai keseluruhan pada 2015 walaupun banyak cabaran yang dihadapi sektor ini pada tahun lalu,” katanya kepada media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Amanat Tahun Baharu di kementerian itu semalam.

Mah berkata komoditi minyak sawit mentah (MSM) dijangka mencatatkan paras purata RM2,700 dan RM2,800 setan tahun ini.

Mengenai sektor getah, beliau berkata purata harga getah SMR 20 pada Disember lepas (2016) mencecah RM8.36 sekilogram, iaitu paras tertinggi sejak April 2013 disebabkan pengeluaran getah yang rendah oleh Thailand akibat musim hujan.

“Oleh itu, kita menyasarkan pada suku pertama tahun ini, purata harga getah asli SMR 20 akan kekal kukuh pada paras RM8 sekilogram,” katanya.

Bagaimanapun, katanya kementerian itu tetap berwaspada pada harga pasaran minyak mentah yang juga mempengaruhi sektor tersebut selain kemungkinan kesan pengenalan dasar baharu oleh Presiden Amerika yang baharu, Donald Trump, ke atas ekonomi Malaysia.

Mah berkata kerajaan akan meneruskan program yang mampu meningkatkan produktiviti dan pendapatan pekebun kecil melalui pemberian anak benih sawit, penyediaan kawasan, baja dan racun rumpai di bawah Skim Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil dan Skim Tanam Baru Sawit Pekebun Kecil.

Kementerian juga menyediakan diskaun sehingga 20 peratus daripada pasaran bagi pembelian jentera dan peralatan ladang baharu di bawah Skim Intensif Mekanisasi Industri Sawit, katanya.

“Indonesia merancang menaikkan kadar gaji pekerja ladang mereka, dan ini dijangka akan menarik pulang pekerja Indonesia di negara ini ke negara asal mereka.

“Jadi insentif ini diperkenalkan bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja ladang, terutama pekerja Indonesia, dan oleh itu penting untuk kita meningkatkan penggunaan mesin di ladang,” katanya.

Mah berkata tiga lagi Pusat Sehenti Komuniti (1SCC) akan dibuka tahun ini, masing-masing di Lahad Datu, Sabah; Jitra, Kedah dan Teluk Intan, Perak bagi memudahkan rakyat mendapatkan perkhidmatan daripada kementerian.

Tahun lepas, kementerian membuka 1SCC di Sungai Petani, Kedah; Bentong, Pahang dan Tawau Sabah.

Mah turut mengumumkan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) Tan Sri Dr Yusof Basiron, yang tamat perkhidmatannya semalam, dilantik sebagai Penasihat kepada Menteri bermula 1 Mac ini.

“Pelantikan ini dibuat berdasarkan pengalaman 25 tahun Yusof di MPOC dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), dalam industri sawit selain getah dan komoditi lain.

“Kementerian mengharapkan khidmat nasihat daripada beliau untuk memacu sektor terbabit,” katanya. — Bernama

Advertisement