Anda di sini

Saat menggembirakan makan malam di langit

Advertisement
 Cef menyediakan makan malam di udara pada ‘Dinner In The Sky’ di Lanai Matic, Kuala Lumpur kelmarin. — Gambar Bernama

PERASAAN TERUJA: Cef menyediakan makan malam di udara pada ‘Dinner In The Sky’ di Lanai Matic, Kuala Lumpur kelmarin. — Gambar Bernama

Sebuah restoran tergantung di udara diangkat, dipegang sebuah kren setinggi 50 meter dari tanah

KUALA LUMPUR: Rasa bagaikan tergantung di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur! Itulah perasaan yang digambarkan oleh tetamu ‘Dinner In The Sky’ (DITS), sebuah restoran tergantung di udara yang diangkat dan dipegang oleh sebuah kren setinggi 50 meter dari paras tanah.

Diikat pada sebuah kerusi dengan tiada apa-apa di bawah kaki anda dan diangkat perlahan-lahan ke atas langit membuatkan salah seorang pengunjung, Emmy Suraya Hussein, 54, berasa teruja tetapi gugup untuk merasai pengalaman seumpama itu sekali seumur hidup.

“Sejurus sebelum kami diangkat, perasaan teruja, sangat gembira dan takut menjadi satu tetapi selepas beberapa minit, saya mula menikmati makan malam dengan pemandangan Kuala Lumpur yang begitu menakjubkan,” katanya kepada Bernama semasa makan malam, di sini malam kelmarin.

Lokasi edisi keempat DITS ialah di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Jalan Ampang di sini dan telah dibuka kepada orang ramai sejak 23 Dis lepas sehingga Jun tahun ini.

DITS, yang dianjurkan 2Spicy Entertainment Sdn Bhd dengan kerjasama MaTiC dibuka setiap hari dengan dua sesi setiap hari dari jam 6.30 petang hingga 7.30 malam dan 8 malam hingga 9 malam dengan menu tiga hidangan makan malam.

Ketua Pegawai Eksekutif 2Spicy Entertainment, Arvin Randahwa berkata sejak pembukaan rasminya di MaTiC setiap sesi habis ditempah sama ada menerusi panggilan atau dalam talian.

Beliau berkata ini adalah kerana hanya Malaysia, sebuah negara di Asia Tenggara yang menyediakan pengalaman kebaharuan penyediaan makanan dari Belgium dan sesiapa pun termasuk orang tempatan dan pelancong ingin mencubanya.

“Banyak pelancong yang datang ke sini untuk membeli tempat duduk dengan datang sendiri ke sini tidak berpeluang kerana tempat duduk telah habis dijual dan kerana itu kami menjual tempat duduk kepada pelancong yang datang ke sini sendiri, bermula minggu depan,” kata beliau.

Arvin berkata perkhidmatan terkini DITS mempunyai keunikan tersendiri kerana pengunjung dapat menyaksikan panorama menakjubkan bangunan ikon negara, Menara KL dan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) semasa menikmati makan malam bersama yang tersayang.

“Inilah hanya peluang untuk anda meraikan keluarga dan rakan-rakan dengan meja makan yang besar tergantung di langit dan menikmati makanan yang bagus dan berkualiti dihidangkan oleh kru kami,” katanya.

Selain KL Tower, DITS juga telah dibuka di Pulau Pinang dan Johor, tahun lepas. — Bernama

Advertisement