Anda di sini

Transformasi Luar Bandar ke arah meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat

Advertisement

KKLW laksana lebih banyak program touch points

Dalam usaha meningkatkan kualiti dan memartabatkan masyarakat luar bandar, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) akan meneruskan inisiatif Transformasi Luar Bandar dengan tema ‘Membandarkan Luar Bandar’ dengan memfokuskan kepada pelaksanaan projek atau program touch points yang bersifat Rakyat Centric dan boleh dilaksanakan dalam tempoh yang segera.

 Program Touch Point KKLW memastikan bantuan-bantuan tersebut dirasai oleh masyarakat luar bandar dan memenuhi keperluan dan kehendak golongan yang disasarkan
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob : Program Touch Point KKLW memastikan bantuan-bantuan tersebut dirasai oleh masyarakat luar bandar dan memenuhi keperluan dan kehendak golongan yang disasarkan

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, inisiatif tersebut bermatlamat memastikan masyarakat luar bandar memperoleh manfaat menyeluruh yang meliputi prasarana, ekonomi, perumahan dan pendidikan.

“Ia juga bagi memastikan bantuan-bantuan tersebut dirasai oleh masyarakat luar bandar dan memenuhi keperluan dan kehendak golongan yang disasarkan,”

“Bagi memastikan pelaksanaan projek dan program tersebut secara lebih efisien, sesetengah projek dan program tersebut akan dilaksanakan secara Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) oleh agensi-agensi pelaksana” 

Beliau menambah, jumlah keseluruhan peruntukan yang diluluskan untuk KKLW adalah sebanyak RM9.048 billion iaitu RM3.218 billion untuk Bajet Mengurus manakala RM5.83 billion untuk Bajet Pembangunan,” katanya.

Jelas beliau lagi , antara program-program pembangunan prasarana yang akan dilaksanakan termasuklah Jalan Perhubungan Desa (JPD) dan jambatan dengan peruntukan sebanyak RM284 juta meliputi jarak 208 kilometer dan Jalan Luar Bandar (JALB) dengan peruntukan sebanyak RM887.82 juta meliputi 220 kilometer.

“Bekalan Air Luar Bandar (BALB) untuk 3,000 unit rumah dengan peruntukan RM632.4 juta akan turut dilaksanakan. Program BALB pula dijangka mencapai sasaran liputan bekalan air sebanyak 100 peratus dalam tempoh lapan tahun berdasarkan unjuran peningkatan liputan sebanyak 5.5 peratus untuk setiap tahun bermula tahun 2015,” katanya.

“KKLW akan turut melaksanakan projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) untuk 10,000 unit rumah dengan peruntukan RM462 juta dan pemasangan 100,000 unit Lampu Jalan Kampung (LJK) masing-masing sebanyak 97,000 unit lampu neon dan 3,000 unit lampu LED dengan peruntukan RM100 juta,” 

Tumpuan juga akan diberikan kepada pelaksanaan Projek Ameniti Sosial (PAMS) dengan peruntukan sebanyak RM60 juta bagi 300 projek yang meliputi projek dewan orang ramai, balai raya, perhentian bas dan gelanggang permainan di seluruh negara,”

KKLW juga menitikberatkan kemudahan pengangkutan masyarakat luar bandar. Oleh itu, sebanyak RM23 juta diperuntukkan untuk pembelian 22 buah bas luar bandar MARA Liner termasuk kerja-kerja menaik taraf 10 buah bengkel di seluruh negara,” jelas beliau lagi.

 Rumah Bina Negara yang dibina dengan keluasan 700 kaki persegi di atas tapak seluas 5,000 kaki persegi dengan 3 buah bilik dan 2 buah bilik air.
Selesa : Rumah Bina Negara yang dibina dengan keluasan 700 kaki persegi di atas tapak seluas 5,000 kaki persegi dengan 3 buah bilik dan 2 buah bilik air.

Untuk memenuhi keperluan perumahan dalam kalangan golongan muda dari kawasan luar bandar menjelang tahun 2020, FELCRA Berhad akan membina sebanyak 2,000 unit rumah secara kelompok dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bagi membina 5,000 unit rumah secara individu bagi pembinaan Rumah Bina Negara (RBN) dengan peruntukan sebanyak RM200 juta.

“KKLW akan turut membina baru serta membaik pulik rumah usang masyarakat Orang Asli dengan peruntukan sebanyak RM350 juta. Dianggarkan sebanyak 2,100 rumah bina baharu akan dilaksanakan, manakala sebanyak 12,500 buah rumah untuk projek baik pulih akan dilaksanakan” ujarnya.

Tambah Dato’ Sri Ismail Sabri lagi, untuk menggalakkan program-program keusahawanan di kalangan belia luar bandar, program Mobilepreneur akan diteruskan dengan peruntukan RM30 juta untuk 3,000 belia luar bandar dengan bantuan berbentuk geran sebanyak RM10,000 yang meliputi sebuah motosikal yang telah diubahsuai bernilai RM5,000, tool kit mengikut perniagaan yang diceburi dan RM1,000 bagi kursus keusahawanan bagi setiap peserta bagi memulakan perniagaan mereka.

“Selain itu, pembiayaan perniagaan dengan peruntukan RM120 juta di bawah MARA bagi tujuan pembiayaan perniagaan golongan usahawan, usahawan wanita termasuklah usahawan belia turut akan dijalankan,”

“Di samping itu, institusi di bawah MARA seperti UniKL, German Malaysia Institute (GMI), Institut Kemahiran MARA dan GIATMARA menawarkan kursus-kursus dan modul pendidikan baharu di dalam bidang Teknikal dan Vokasional (TVET) selaras dengan permintaan dalam bidang tersebut,”

Menurut beliau lagi, Program Penilaian dan Kaunseling/Bimbingan Usahawan di bawah MARA dengan peruntukan sebanyak RM27.68 juta meliputi program latihan dan bimbingan usahawan, pembangunan semula premis perniagaan serta program transformasi industri halal (TIH). 

“Dijangka seramai 1,500 usahawan baharu dan 16,700 usahawan sedia ada akan menerima manfaat daripada program ini. Manakala, sebanyak 73 lot premis perniagaan akan dinaik taraf dan seramai 150 usahawan akan menerima manfaat dari program TIH ini,”

“Turut akan dilaksanakan ialah program-program usahawan desa melalui kursus Quick-win oleh KEMAS iaitu kursus kemahiran belia jangka pendek dan bekalan kit peralatan kepada peserta kursus seramai kira-kira 3,840 orang,”jelas beliau.

Dalam meningkatkan taraf pendidikan masyarakat, kementerian juga bersetuju untuk menurunkan syarat minima kemasukan ke MRSM kepada 3A, 3B bagi pelajar di Semenanjung dan 3A, 2B, 1C untuk pelajar di Sabah dan Sarawak. Sementara itu, kelulusan khas diberi kepada pelajar miskin tegar dan orang kurang upaya (OKU).

Pelaksanaan projek pembinaan MRSM juga akan diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM29.25 juta termasuk RM50 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan. Pemberian biasiswa MARA juga akan diberikan dengan peruntukan RM2 billion.

Kesimpulannya program-program touch points yang dilaksanakan oleh KKLW ini akan menjadikan kawasan luar bandar lebih kondusif dengan pelbagai aksesibiliti dan kemudahan seperti infrastruktur, pembangunan modal insan, pertambahan aktiviti ekonomi dan menggalakkan generasi muda untuk terus kekal menetap dan membina masa depan di luar bandar.

Masyarakat luar bandar peroleh manfaat

Sepanjang tahun 2016, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dilihat sebagai sebuah kementerian yang terus melaksanakan program dan projek yang memberi faedah serta manfaat kepada masyarakat luar bandar. 

Menterinya, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, matlamat KKLW adalah untuk meningkatkan kualiti dan kesejahteraan hidup masyarakat serta menjadikan kawasan luar bandar lebih selesa didiami dengan penyediaan pelbagai kemudahan dan aksesibiliti sama seperti di kawasan bandar.

“Bagi tahun 2016, jumlah peruntukan (diubahsuai) yang diluluskan untuk kementerian ini adalah RM9.825 billion iaitu masing-masing RM5.259 billion untuk Bajet Mengurus dan RM4.565 billion untuk Bajet Pembangunan. 

“Berdasarkan jumlah Bajet Pembangunan, sebanyak RM2.295 billion iaitu 50.3% telah diperuntukkan untuk pelaksanaan prasarana luar bandar manakala baki sebanyak RM2.270 billion iaitu 49.7% adalah untuk pelaksanaan program-program lain,”

“Antara program yang telah berjaya dilaksanakan tahun lalu ialah program Mobilepreneur, Tuisyen Rakyat@KKLW, Rumah Bina Negara, Rural Business Challenge, Desa Lestari, Tabika Berprestasi Tinggi, MARA Digital, Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) untuk Pembaikan Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS),”katanya.

Jelas beliau, program prasarana di kawasan luar bandar adalah melibatkan penyediaan kemudahan infrastruktur asas dengan tujuan untuk meningkatkan aksesibiliti dan supaya penduduk di kawasan luar bandar dapat menikmati kemudahan sepertimana yang dinikmati oleh para penduduk di kawasan bandar serta meningkatkan perhubungan antara kawasan luar bandar dan antara kawasan luar bandar dan bandar. 

“Antaranya adalah pelaksanaan projek Jalan Luar Bandar (JALB), Jalan Perhubungan Desa (JPD), Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB), Bekalan Air Luar Bandar (BALB) dan Projek Ameniti Sosial (PAMS).  Bagi tahun 2016, sebanyak RM2.287 billion iaitu 99.67% telah dibelanjakan untuk penyediaan kemudahan infrastruktur asas yang berkenaan,”

Program Usahawan Bergerak atau lebih dikenali sebagai Mobilepreneur merupakan salah satu program peningkatan pendapatan yang telah dilaksanakan pada tahun lalu dan akan diteruskan pada tahun ini.  

“Peruntukan untuk pelaksanaan program Mobilepreneur bagi tahun 2016 adalah RM5 juta. Para peserta Mobilepreneur diberi bantuan berbentuk geran sebanyak RM10,000 yang meliputi Kursus Asas Keusahawanan dan sebuah motosikal yang telah diubahsuai mengikut kesesuaian perniagaan yang dijalankan serta tool kit. Seramai 500 orang peserta telah mendapat manfaat daripada pelaksanaannya,”jelas Ismail Sabri.

Rumah Bina Negara yang terletak di FELCRA Sri Makmur Skim Penyusunan Semula Kampung di FELCRA Sri Makmur, Pekan, Pahang.
Rumah Bina Negara yang terletak di FELCRA Sri Makmur Skim Penyusunan Semula Kampung di FELCRA Sri Makmur, Pekan, Pahang.

Satu lagi program yang telah dilaksanakan pada tahun lalu ialah, Tuisyen Rakyat@KKLW yang merupakan bantuan pendidikan yang melibatkan penyediaan kelas bimbingan tambahan secara percuma kepada para pelajar di kawasan luar bandar bagi mempertingkatkan tahap penguasaan mata pelajaran dan pencapaian akademik. 

Pada tahun 2016, sebanyak RM8 juta telah diperuntukkan untuk pelaksanaan program ini dan telah memberi manfaat kepada seramai 22,068 orang pelajar luar bandar. Tuisyen Rakyat@KKLW akan memberi tumpuan kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Satu lagi program yang dilaksanakan pada tahun lalu adalah program Rumah Bina Negara yang merupakan program perumahan generasi kedua masyarakat luar bandar bertujuan meningkatkan pemilikan asset bukan kewangan bumiputera. Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak melalui pembentangan Bajet 2017 telah mengumumkan pemberian subsidi sebanyak RM20,000 bagi setiap Rumah Bina Negara dan peruntukkan sebanyak RM100 juta untuk RISDA dan RM100 juta untuk FELCRA Berhad bagi melaksanakan pembinaan Rumah Bina Negara pada tahun 2017.

Program Rumah Bina Negara membolehkan masyarakat luar bandar terutamanya belia untuk memiliki rumah yang mampu milik, selamat dan kondusif.

Tambah Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob lagi, pada tahun 2016, program Tabika Berprestasi Tinggi (TBT) telah diwujudkan dengan tujuan meningkatkan tahap kecemerlangan kanak-kanak dan supaya Tabika KEMAS menjadi pilihan utama para ibu bapa.

“Program TBT melibatkan penambahbaikan silibus pembelajaran dengan tujuan meningkatkan kualiti keberhasilan pendidikan awal kanak-kanak dan menaiktaraf prasarana premis Tabika KEMAS bagi meningkatkan keselamatan dan akses persekitaran pembelajaran yang berkualiti,”

“Silibus pembelajaran yang telah ditambahbaik adalah melibatkan tiga modul utama, iaitu modul Program Penghayatan Pendidikan Islam (PPI), Pemupukan Semangat Patriotik dan Keyakinan Diri,”

“Seramai 6,999 orang Pemaju Masyarakat Tabika KEMAS telah dilatih manakala sebanyak 8,103 Tabika KEMAS telah mula melaksanakan pembelajaran modul ini. Baki sebanyak 1,914 Tabika KEMAS akan mula menggunakan modul ini pada tahun 2017,”katanya.

Antara pencapaian lain yang dilaksanakan oleh KKLW adalah pewujudan MARA Digital bagi memberi peluang kepada usahawan bumiputera untuk terlibat dalam perniagaan yang berasaskan produk Teknologi Maklumat (ICT) dan untuk memberi manfaat kepada pelanggan dengan mendapat produk yang terjamin dengan harga yang berpatutan. 

(Tiga dari kiri) Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pada majlis perasmian MARA Digital Mall yang terletak di Anggerik Mall, Shah Alam
(Tiga dari kiri) Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pada majlis perasmian MARA Digital Mall yang terletak di Anggerik Mall, Shah Alam

“Pada tahun lepas, sebanyak dua (2) buah MARA Digital telah diwujudkan iaitu di Menara MARA, Kuala Lumpur dan Anggerik Mall, Shah Alam, Selangor. Bagi tahun 2017, MARA Digital akan dibuka di Glo Mall, Selangor, Plaza Paya Bunga, Kuala Terengganu, Terengganu dan di Wisma Air, Melaka” jelas Ismail Sabri.

Sehingga kini, melalui pelaksanaan MARA Digital sebanyak 1,680 peluang pekerjaan dan 560 peluang perniagaan kepada para usahawan Bumiputera telah diwujudkan dengan keseluruhan nilai jualan sebanyak kira-kira RM15.49 juta.

Dalam perkembangan lain,  sejumlah RM150 juta telah diperuntukan untuk pelaksanaan program pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) yang dilaksanakan oleh KKLW melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA). 

Pada masa kini, terdapat seramai 77,626 orang penuntut TVET yang sedang menuntut di GIATMARA, Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), MARA Japan Industrial Institute (MJII) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL). 

Jelas Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, bagi tujuan mewujudkan persekitaran pembelajaran TVET yang kondusif, kementerian ini telah menaik taraf kemudahan peralatan dan infrastruktur pembelajaran di kampus-kampus UniKL serta melaksanakan pembelian peralatan latihan pengkhususan untuk bidang automotif, pendawaian elektrik, kulinari dan teknologi motosikal di GIATMARA.

  • oleh
  • Advertisement