Anda di sini

Perkongsian viral, calon ujian lesen memandu mohon maaf

Advertisement

TAWAU: Seorang lelaki memohon maaf secara terbuka kepada Institut Memandu Cemerlang Tawau kerana memuat naik status berhubung ketidakpuasan hatinya di media sosial, 6 Januari lepas.

Status yang dimuat naik lelaki itu di akaun Facebook miliknya menggunakan nama Terkesima Skp menjadi viral dan dikatakan mengundang kemarahan pihak tertentu.

Sudirman Kacopiri, 27, berkata, permohonan maafnya juga ditujukan kepada kesemua tenaga pengajar di institut memandu itu khususnya individu yang dikenali sebagai Cikgu Ah Hiew.

“Tindakan itu dibuat kerana didorong rasa curiga terhadap markah terkumpul saya usai menjalani ujian memandu dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada hari terbabit.

“Sejujurnya, saya benar-benar bimbang jika markah terkumpul yang diperolehi dalam ujian itu sudah dimanipulasi oleh pihak tertentu (bukan JPJ),” katanya di sini, kelmarin.

Sudirman berkata beliau juga sudah mendapatkan nasihat polis berhubung kes terbabit namun, atas nasihat majikan dan ibunya, dia akur untuk tidak memanjangkan hal itu.

Menurutnya, perbincangan lanjut juga sudah diadakan dengan pihak institut memandu berkenaan yang sudi bertolak ansur untuk menyelesaikan kes itu dengan baik.

“Berdasarkan jumlah terkumpul markah saya adalah sebanyak 84 mata iaitu melebihi syarat lulus 80 mata, tetapi saya dikatakan melakukan kesalahan mandatori,” katanya.

Beliau akur atas kegagalannya namun belum serik untuk menduduki ujian itu sekali lagi kerana sudah menyimpan impian semenjak empat tahun lalu.

“Kita perlu mematuhi undang-undang negara dan paling mustahak untuk menjadi pemandu kompeten, celik undang-undang serta mempunyai lesen memandu yang sah.

“Saya menghargai kerjasama yang diberikan oleh Institut Memandu Cemerlang kerana sudi bertolak ansur dan saya juga berterima kasih kepada orang tua dan majikan yang memahami situasi yang dihadapi,” katanya.

Untuk rekod, Sudirman menduduki ujian memandu untuk mendapatkan Lesen Kategori H-Traktor/ Jentera Bergerak Berat (Beroda) BTM Melebihi 5,000kg pada 6 Januari lepas.

Advertisement