Anda di sini

Lelaki dipenjara 10 bulan kerana cederakan adik guna dapur gas

Advertisement

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan yang mencederakan adik kandungnya, dikenakan penjara sepuluh bulan, oleh Mahkamah Majistret di sini kelmarin.

Majistret Stephanie Sherron Abbie menjatuhkan hukuman itu terhadap Damian Duni, 38, selepas mengaku bersalah.

Tertuduh mencederakan mangsa yang berusia 32 tahun, dengan menggunakan sebuah dapur gas yang boleh menyebabkan kematian.

Kesalahan itu dilakukan pada 13 November tahun lalu jam 11.30 malam, di sebuah rumah di Kampung Moyong, Penampang.

Atas kesalahan itu, Damian disabitkan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun serta sebat atau denda, atau dua daripadanya.

Berdasarkan fakta kes, pada hari sama kira-kira jam 8 malam di sebuah rumah, pengadu dipukul oleh abang kandung dengan menggunakan sebuah dapur gas di bahagian kepala.

Siasatan awal, semasa pengadu, isteri dan ketua kampung sedang minum di garaj rumah, tiba-tiba tertuduh menghempas sebuah dapur gas ke bahagian kepada pengadu.

Akibat daripada tindakan tertuduh, pengadu terjatuh dari kerusi dan mengalami kecederaan di bahagian kepala.

Pada 17 November tahun lalu, tertuduh ditangkap oleh pihak polis untuk tindakan dan siasatan selanjutnya.

Ketika disoal mahkamah mengapa tertuduh bertindak demikian, tertuduh menyatakan pada ketika itu berada dalam keadaan mabuk.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh sabitan.

Advertisement