Anda di sini

Bursa: Lebih banyak syarikat pertingkat usaha kelestarian

Advertisement

 Tajuddin berucap pada forum ‘The Velocity of Global Change and Sustainability- The New Business Model’ di Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur semalam. — Gambar Bernama

BERUCAP: Tajuddin berucap pada forum ‘The Velocity of Global Change and Sustainability- The New Business Model’ di Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Lebih banyak syarikat bergabung tenaga dan meningkatkan usaha kelestarian dalam bidang seperti tenaga boleh baharu, perlindungan hak asasi manusia dan rantaian bekalan, kata Bursa Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) Datuk Seri Tajuddin Atan berkata banyak perniagaan, pelabur dan kerajaan juga mencatatkan kemajuan besar dalam menangani risiko kelestarian, di samping memanfaatkan peluang yang tersedia.

“Semakin ramai dalam kalangan para pelabur yang bersetuju bahawa faktor-faktor kelestarian atau alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) akan dapat diterjemahkan menjadi pulangan pelaburan tinggi, dan menyepadukan pertimbangan bukan kewangan sebahagian daripada tanggungjawab fidusiari mereka,” katanya pada Forum Kelestarian bagi Para Pengarah/CEO, di sini, semalam.

Tajuddin berkata pelabur institusi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) telah menyatakan komitmen mereka untuk menimbang faktor-faktor ESG sebagai sebahagian daripada proses membuat keputusan pelaburan mereka.

Mengenai Bursa Malaysia, beliau berkata pengendali bursa saham itu telah meletakkan kelestarian sebagai teras pasaran modal Malaysia.

“Kami sedar akan keperluan penyelesaian yang lestari, inovatif dan progresif untuk mengekalkan daya saing dan tarikan pasaran kita,” katanya.

Tajuddin berkata sebagai sebahagian daripada komitmen Bursa Malaysia untuk meningkatkan kualiti amalan kelestarian dan pendedahan syarikat tersenarai awam tempatan, ia memperkenalkan Indeks FTSE4GOOD Bursa Malaysia pada 2014, yang juga digelar Indeks ESG.

“Ia menyokong pelabur membuat pelaburan bertanggungjawab dalam syarikat tersenarai awam Malaysia,” katanya.

Bursa Malaysia juga memperkenalkan Rangka Kerja dan Kit Peralatan Kelestarian pada 2015 dengan objektif utama membawakan tahap kesedaran dan integrasi pertimbangan kelestarian ke dalam perniagaan syarikat tersenarai awam tempatan, yang sekali gus meningkatkan prestasi perniagaan dan kewangan.

“Syarikat-syarikat dengan modal pasaran RM2 bilion ke atas dengan tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2016, akan memulakan pelaporan di bawah Rangka Kerja Kelestarian baharu itu tahun ini,” katanya.

Beliau juga menegaskan kepentingan lembaga pengarah syarikat tersenarai awam dalam memupuk budaya kelestarian dan melihatnya daripada perspektif nilai yang dibawa menerusi pelaksanaan amalan baik berkaitan dengannya.

“Terdapat manfaat besar bagi syarikat untuk menerapkan kelestarian, bukan hanya daripada perspektif pengurusan risiko, tetapi sebagai kemajuan yang perlu bagi melangkah ke masa hadapan,” katanya.

Forum hari ini anjuran Bursa Malaysia yang bertemakan ‘The Velocity of Global Change and Sustainability – The New Business Model’ (Pacuan Perubahan Global dan Kelestarian – Model Perniagaan Baharu), membincangkan pembangunan perniagaan kelestarian dalam negara dan peringkat antarabangsa. — Bernama

 

Advertisement