Anda di sini

Lelaki hilang ketika memancing di sungai

Advertisement

TAWAU: Seorang lelaki dilaporkan hilang ketika keluar memancing sejak Rabu lalu di perairan Sungai Haji Kuning, Pulau Sebatik di sini.

Raiman Abdul Majid, 38, pada mulanya dikatakan memasuki perairan itu bersama beberapa lagi rakannya untuk memancing namun kira-kira pukul 9 malam, lelaki itu yang berasal dari Batu 4, Jalan Apas, telah berpecah daripada kumpulan rakannya semasa memancing.

Timbalan Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau Komander Maritim Romli Mustafa berkata berikutan laporan kehilangan yang diterima kelmarin, satu misi mencari dan menyelamat dijalankan dengan menumpukan kawasan perairan Sungai Haji Kuning sehingga ke sekitar perairan Batuan Unarang, Indonesia.

“Sehingga hari ini (semalam), pihak Polisi Sektor (POLSEK) Sebatik Timur memaklumkan bahawa komuniti nelayan di sekitar perkampungan Pulau Sebatik, Indonesia yang keluar memancing pada Jumaat lepas kira-kira jam 9 pagi, telah menemui bot terapung diperbuat daripada kayu plywood dalam keadaan pecah di kedudukan lebih kurang 17 batu nautika, utara Batuan Unarang,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Romli berkata barangan lain yang turut dijumpai termasuk beg kecil berisi peralatan mengail, segulung tali nilon, jaring penyedok ikan dan baju hujan bercorak celoreng mempunyai perkataan Khidmat Negara yang semuanya disyaki milik Raiman.

“Kami (APMM) akan meneruskan usaha mencari mangsa dan akan bekerjasama dengan penguat kuasa negara jiran dari semasa ke semasa sehingga menemui mangsa yang hilang,” katanya.

Sehubungan itu, Romli turut menasihatkan golongan nelayan supaya mengutamakan aspek keselamatan dengan memastikan bot dilengkapi alat perhubungan komunikasi dan jaket keselamatan.

Beliau berkata penduduk tempatan yang mempunyai sebarang maklumat kejadian kemalangan khususnya di perairan Tawau boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Malaysia Tawau di talian 089-750116 atau talian bantuan kecemasan MERS 999. — Bernama

Advertisement