Anda di sini

JHEAINS digesa ketuai ‘task force’ cegah kegiatan judi kalangan umat Islam

Advertisement

PAPAR: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) digesa mengetuai jawatankuasa khas (Task force) dalam menguatkuasakan undang-undang bagi mencegah kegiatan judi dalam kalangan umat Islam di daerah ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis Datuk Seri Panglima Abdul Rahim Ismail berkata, gejala sosial berkenaan perlu dibasmi demi mengekalkan keharmonian dan ketenteraman keluarga dan awam.

“Kita minta JHEAINS bertindak lebih proaktif dalam menguatkuasakan undang-undang syariah berkaitan perjudian dalam kalangan umat Islam.

“Gejala sosial ini lebih banyak membawa kepada kepincangan dan keharmonian dalam masyarakat seperti keruntuhan institusi keluarga di mana kes perceraian meningkat, masalah disiplin pekerja yang berjudi pada waktu pejabat, pelajar yang menghabiskan masa di pusat judi dan sebagainya.

“Ketagihan judi juga menyebabkan mereka tidak dapat mengatur kewangan keluarga dengan baik, hilang minat serta fokus bekerja atau belajar, menanggung hutang yang banyak dan di luar kemampuan mereka,” katanya kepada media selepas merasmikan Sambutan Maulidur Rasul 1348H/2016M di Dewan Masyarakat Papar, kelmarin.

Tambah Abdul Rahim, berdasarkan laporan 20 permohonan lesen menjalankan Pusat Hiburan Keluarga (PHK) telah ditolak Majlis Daerah kerana tidak menepati syarat-syarat ditetapkan.

Sementara itu, Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Daerah Masnor Manshor menjelaskan pihaknya bersedia mengadakan kerjasama dengan pihak berkuasa untuk menjalankan operasi dan pemantauan khususnya ke atas premis judi yang tidak mempunyai permit yang sah.

“Jawatankuasa atau ‘task force’ ini baharu sahaja dibentuk, dipengerusikan sendiri oleh Datuk Seri Panglima Abdul Rahim dan dianggotai beberapa agensi dan jabatan penguat kuasa yang terbabit.

“Selain itu, kita juga akan menyelitkan isu perjudian dalam khutbah-khutbah Jumaat dan sebagainya sebagai langkah memberi kesedaran kepada umat Islam,” ujar beliau.

Menurutnya, kesalahan perjudian melibatkan umat Islam termaktub dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995 Seksyen 90 Perjudian.

Seksyen 90 (1) menyatakan sesiapa melakukan apa-apa jenis perjudian termasuk pertaruhan adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Seksyen sama (2) pula merujuk sesiapa membuka kedai judi atau tempat-tempat judi atau seumpamanya adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Manakala, Sekeyen 90 (3) pula berkaitan sesiapa yang bersubahat terhadap kesalahan subseksyen (1) atau (2) adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Advertisement