Anda di sini

Gabungan pembangkang tidak gugat BN Sabah

Advertisement

SEMPORNA: Gabungan parti pembangkang lama dan baharu di Sabah diyakini tidak akan menggugat sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) di negeri itu dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Timbalan Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Ramlee Marahaban berkata ini kerana kerjasama yang terjalin dalam pakatan pembangkang masih goyah dan tidak serasi.

“Ini hanya usaha terdesak untuk mendapatkan kesepakatan dalam kalangan parti-parti pembangkang dan kalau kita lihat parti-parti lama atau baharu yang wujud ini masih dalam keadaan tercari-cari haluan,” katanya semalam.

Beliau yang ditemui pemberita selepas majlis khatam al-Quran golongan asnaf peringkat daerah Semporna di sini ditanya mengenai desas-desus kerjasama strategik dalam kalangan parti pembangkang pada PRU kelak.

Ramlee yang juga Pembantu Menteri Kewangan Sabah dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bugaya, berkata berbanding pembangkang yang masih bercelaru, BN kini berada dalam keadaan mantap untuk menghadapi PRU Ke-14. — Bernama

Advertisement