Anda di sini

JSJN Sabah rekod 591 kes bekalan dadah, 893 tangkapan tahun lepas

Advertisement

KOTA KINABALU: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah merekodkan sebanyak 591 kes dadah melibatkan 893 tangkapan bagi kategori bekalan sepanjang tahun lepas.

Ketuanya Supt Mohamed Fadzil A Rahman berkata daripada jumlah tangkapan itu, seramai 151 ditangkap di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagi kategori memiliki pula, beliau berkata JSJN negeri merekodkan 2,438 kes dengan 2,954 tangkapan.

“Jumlah rampasan dadah adalah 39,594.59 gram syabu, ganja (15,207.5 gram), heroin (1.6 gram), ketamin (185.4 gram), ekstasi (685 biji), erimin 5 (178 biji) dan cecair ketum (1.5 liter).

“Hasil kejayaan ini membuktikan pihak polis, khususnya JSJN, sentiasa komited dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah di negeri ini,” katanya pada sidang akhbar mengenai kes rampasan dadah di sini semalam.

Mohamed Fadzil turut mengucapkan terima kasih atas kerjasama masyarakat dalam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah yang berlaku di sekeliling mereka dan berharap masyarakat terus menjadi mata dan telinga polis.

“Saya juga mengalu-alukan agar masyarakat umum dapat terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis dengan menggunakan perkhidmatan media sedia ada seperti khidmat pesanan ringkas (SMS), Rakan Cop, WhatsApp, Facebook, e-mel dan lain-lain,” tambahnya.

Beliau berkata pihaknya akan terus mempertingkatkan usaha mencegah kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah daripada terus berleluasa, walaupun pelbagai taktik baharu dan modus operandi telah digunakan oleh pihak sindiket untuk mengaburi pihak penguat kuasa. — Bernama

Advertisement