Anda di sini

Empat penagih suspek kes pecah rumah ditahan

Advertisement

TAWAU: Polis menahan empat penagih dadah suspek kes pecah rumah serta merampas selaras senapang angin dan empat batang besi pengait di Taman Berkeley Batu 2 Jalan Apas, di sini, kelmarin.

Serbuan terbabit dijalankan menerusi Ops Bersepadu melibatkan gabungan pelbagai unit IPD Tawau kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus berkata, kesemua suspek berusia 28 sehingga 47 tahun terbabit diberkas di tingkat atas sebuah rumah papan tidak bernombor.

“Kita turut menyiasat rekod lampau kesemua suspek melibatkan tiga daripada mereka yang beralamat di Taman Berkeley dan seorang lagi di Kg Tanjung Batu,” katanya.

Beliau berkata, polis turut merampas barangan lain di rumah berkenaan selain senapang angin buatan sendiri dalam sebuah beg Yonex dan empat besi pengait yang sudah diubah suai.

Antaranya, sebuah tablet tiada jenama, dua telefon bimbit Lenovo, sebuah telefon bimbit Samsung dan sebuah DVD Sony.

“Hasil pemeriksaan juga, kita menemui satu peket plastik jernih berisi daun kering disyaki ganja seberat 0.2 gram dari bungkusan kertas bergambar Anchor.

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap kesemua suspek juga mendapati mereka positif dadah,” katanya.

Terdahulu, seorang lelaki berusia 51 tahun membuat laporan polis selepas mendapati beberapa barangan miliknya hilang dari sebuah rumah di Taman Emas Jalan Sin Onn, di sini.

Pengadu menemui kesan tapak kaki bertanah di lantai ruang tamu hingga ke dapur dan mendapati pagar besi jendela di bahagian dapur rumah itu sudah dirosakkan.

Antara barang yang dilaporkan hilang, kad pengenalan, lesen memandu, kad ATM, pasport antarabangsa Malaysia, satu set kunci, lima telefon bimbit dan satu komputer riba.

Kesemua suspek kini ditahan reman dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, Seksyen 6 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

 

Advertisement