Anda di sini

Sasaran untuk Dasar 90:10 semakin hampir dicapai di Sabah

Advertisement
 Maimunah (tengah) beramah mesra dengan beberapa pelajar tingkatan satu SM All Saints selepas mengadakan lawatan sempena pembukaan sesi persekolahan di sekolah itu.

SOKONGAN MORAL: Maimunah (tengah) beramah mesra dengan beberapa pelajar tingkatan satu SM All Saints selepas mengadakan lawatan sempena pembukaan sesi persekolahan di sekolah itu.

KOTA KINABALU: Sasaran 90 peratus anak tempatan mengajar di negeri ini semakin hampir dicapai sebagaimana yang ditetapkan dalam Dasar 90:10.

Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Datuk Maimunah Suhaibul berkata bagi sekolah rendah, bilangan guru kelahiran Sabah adalah seramai 21,406 orang.

Jumlah berkenaan jelasnya bersamaan dengan 82.4 peratus daripada jumlah keseluruhan guru sekolah rendah di Sabah iaitu 25,957 orang.

“Sekurang-kurangnya tujuh peratus lagi jumlah guru kelahiran Sabah diperlukan untuk mencapai sasaran berkenaan.

“Bagi sekolah menengah, jumlah anak tempatan yang mengajar di Sabah adalah seramai 11,221 orang iaitu sebanyak 75.9 peratus.

“Jumlah keseluruhan guru sekolah menengah di Sabah adalah seramai 14,766 orang,” katanya pada sidang media di Sekolah Menengah (SM) All Saints Likas di sini kelmarin.

Maimunah berkata setakat ini jumlah guru di Sabah mencukupi dan masalah kekurangan guru sekolah menengah hanya melibatkan Opsyen Pendidikan Agama Islam (PAI) dan Bahasa Inggeris (BI).

Bagaimanapun katanya masalah berkenaan tidaklah kritikal dan untuk operasi persekolahan pada awal tahun ini jumlah guru masih mencukupi.

Mengulas mengenai aspek keselamatan guru-guru yang mengajar di kawasan pulau yang terdedah dengan risiko bot karam, beliau berkata sejak tahun lepas lagi sebanyak 1,876 jaket keselamatan diagihkan kepada guru-guru di seluruh Sabah.

Pemberian jaket keselamatan itu jelasnya melibatkan guru-guru dan Anggota Kumpulan Sokongan (AKP) yang berada di pulau atau kawasan sungai yang berisiko dengan kejadian karam.

“Sebelum ini jaket keselamatan hanya diberikan kepada murid sekolah sahaja dan tindakan mengagihkan jaket keselamatan ini berikutan kejadian bot karam di  Pulau Mantanani Kota Belud pada 21 Ogos tahun lepas.

“Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyediakan peruntukan lebih RM200,000 untuk menyediakan jaket keselamatan kepada guru di Sabah,” katanya.

Advertisement