Anda di sini

MEF minta PM campur tangan dalam isu bayaran levi pekerja asing

Advertisement

Langkah baharu syaratkan majikan membayar levi pekerja asing

KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk campur tangan dalam isu berkaitan langkah baharu yang mensyaratkan majikan membayar levi pekerja asing berkuat kuasa pada 1 Jan, 2017.

Sehubungan itu, Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan berkata surat serta dokumen rasmi berhubung perkara itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri hari ini.

Jelasnya, hampir semua industri tidak berpuas hati kerana kerajaan tidak membincangkan dasar itu terlebih dahulu sebelum ia dikuatkuasakan.

“Dasar ini merupakan satu kejutan kerana kami tidak lihat bagaimana ia boleh memberi sebarang manfaat kepada ekonomi. Ia (juga) tidak mesra perniagaan manakala pengumumannya pula dibuat dalam masa sehari tanpa melibatkan penggiat industri (terlebih dahulu) serta tiada sebarang tempoh penangguhan yang diberikan.

“Kami tidak bersetuju dengan dasar ini kerana kosnya bukan sahaja ditanggung oleh kami sebagai majikan, tetapi juga para pengguna,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat bersama 159 penggiat industri di sini, kelmarin.

Pada 31 Disember lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan majikan bertanggungjawab sepenuhnya untuk membayar levi pekerja asing berkuat kuasa 1 Jan 2017 di bawah Komitmen Mandatori Majikan (EMC).

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata EMC bertujuan memastikan majikan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pekerja asing yang digaji bermula daripada peringkat permohonan, penggajian dan sehinggalah pekerja asing tersebut dihantar pulang ke negara asal.

Mengulas lanjut, Shamsuddin menegaskan tenaga pekerja asing itu amat diperlukan kerana membabitkan aspek sumber manusia yang tidak dapat ditampung oleh rakyat tempatan.

“Pihak industri yang lazimnya menggaji pekerja asing adalah majikan yang bukan menjadi pilihan rakyat tempatan.

“Atas alasan inilah majikan tiada pilihan kecuali memilih pekerja asing bagi memenuhi permintaan pelanggan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Kebangsaan Malaysia, Datuk Michael Kang Hua Keong turut membantah dasar baharu itu yang disifatkannya menyebabkan majikan lebih berisiko untuk kehilangan pekerja asing yang sah.

“Oleh kerana ia hanya menambah kos kepada perniagaan untuk mengambil khidmat  pekerja asing yang sah, maka lebih ramai pekerja asing tanpa izin akan mula masuk (ke negara ini).

“Akibatnya, objektif untuk memudahkan pengurusan (pengambilan) pekerja asing menerusi langkah ini sebaliknya akan gagal,” kata Kang.

Sehubungan itu, jelasnya, para penggiat industri mahu Perdana Menteri meneliti isu itu seberapa segera dan mengekalkan sistem sebelum ini yang mana levi itu dibayar oleh pekerja asing menerusi potongan gaji. — Bernama

Advertisement