Anda di sini

Bursa Malaysia kekal dalam segmen positif pada tengah hari

Advertisement

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia kekal dalam segmen positif pada tengah hari semalam berikutan sokongan berterusan dalam kaunter berkaitan indeks serta kaunter produk perindustrian dan perdagangan/perkhidmatan.

Pada rehat tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 7.93 mata untuk ditutup kepada 1,643.46 berbanding 1,635.53 kelmarin.

Indeks utama itu memulakan dagangan semalam naik 3.45 mata kepada 1,638.98 dan bergerak antara 1,637.14 dan 1,643.46 semasa sesi pagi.

Para peniaga berkata, harga minyak mentah tinggi telah membantu meningkatkan kaunter minyak dan gas di Bursa Malaysia dan mencetuskan minat belian.

Seorang peniaga berkata harga minyak mungkin kekal tinggi dalam tempoh jangka pendek apabila prospek pengurangan pengeluaran oleh pengeluar minyak utama sebanyak hampir 1.8 juta setong sehari menarik semula minat pelabur terhadap komoditi itu.

“Dengan harga melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh 18 bulan pada Selasa kita dapat melihat bagaimana jangkaan pengurangan pengeluaran terus menyediakan talian hayat kepada komoditi itu.

“Meskipun kenaikan minyak sekarang tidak dinafikan menarik, kenaikan itu berisiko terhad sekiranya terdapat sebarang komplikasi atau kelewatan yang berpunca daripada cadangan pengurangan tersebut.

Niaga hadapan minyak mentah US West Texas Intermediate (WTI) berjumlah AS$52.66 setong manakala niaga hadapan minyak mentah Brent naik 34 cents kepada AS$55.81 setong.

Dalam keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 413 berbanding 253 manakala 332 kaunter kekal tidak berubah, 729 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 1.01 bilion saham bernilai RM605.36 juta.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Sime meningkat 13 sen kepada RM8.32, Maybank naik tujuh sen kepada RM8.08, CIMB menokok enam sen kepada RM4.60, PBBank menambah lapan sen kepada RM19.84.

Petronas Chemical dan Petronas Gas kedua-duanya naik 10 sen setiap satu masing-masing kepad RM7.09 dan RM21.48. Bagaimanapun, Petronas Dagangan kekal tidak berubah pada RM23.80.

Dalam kalangan kaunter untung, Latitud meningkat 13 sen kepada RM5.07, Carlsberg naik 12 sen kepada RM14.08, Hong Leong Industries menokok sembilan sen kepada RM9.59 dan Ibraco menambah lapan sen kepada RM1.02.

Dalam kalangan kaunter cergas, Reach naik 2.5 sen kepada 68.5 sen manakala warannya tidak berubah pada 12.5 sen, Hibiscus meningkat setengah sen kepada 44 sen, Armada, Sumatec dan Iris tidak berubah masing-masing pada 64.5 sen, sembilan sen dan 11.5 sen.

Indeks FBM Emas naik 52.71 mata kepada 11,506.43, Indeks FBMT100 meningkat 60.67 mata kepada 11,221.59, Indeks FBM Emas Shariah menokok 53.19 mata kepada 12,074.81 dan FBM Ace menambah 63.0 mata kepada 4,821.7.

FBM 70 meningkat 46.43 mata kepada 13,152.16. — Bernama

Advertisement