Anda di sini

Mes Pegawai Rendah 3S untuk anggota PDRM berpangkat rendah kanan

Advertisement
 Abdul Rashid menandatangani plak sebagai simbolik perasmian Mes Pegawai Rendah 3S di IPK, kelmarin.

ANGKAT MARTABAT: Abdul Rashid menandatangani plak sebagai simbolik perasmian Mes Pegawai Rendah 3S di IPK, kelmarin.

KOTA KINABALU: Penubuhan Mes Pegawai Rendah 3S yang pertama di negara ini angkat martabat anggota berpangkat rendah kanan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun berkata penubuhan mes pegawai rendah berkenaan adalah untuk anggota berpangkat Sarjan, Sarjan Mejar (SM) dan Sub Inspektor (SI).

Katanya seramai 979 Sarjan, SM serta SI di seluruh Sabah secara automatik menjadi ahli dan boleh menggunakan Mes Pegawai Rendah 3S itu.

Selain itu jelasnya mes pegawai rendah berkenaan bagi menghargai anggota polis yang berpangkat rendah supaya mereka mempunyai tempat untuk berehat dan mendapat pendedahan berkaitan budaya kepimpinan.

“Penubuhan Mes Pegawai Rendah 3S juga sebagai salah satu usaha untuk menyemai semangat setia kawan dalam kalangan anggota selain merapatkan hubungan sesama warga PDRM sendiri.

“Kita selalu membuat program bersama masyarakat setempat tetapi hingga terlupa hubungan dalam keluarga sendiri.

“Justeru, saya mahu hubungan sesama warga PDRM dan masyarakat akan terus diperhebatkan dengan adanya mes pegawai rendah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian Mes Pegawai Rendah 3S di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini kelmarin.

Terdahulu, Abdul Rashid merasmikan Majlis Penutupan Latihan Tempur Pasukan Tindak Pantas (Rapid Team) Siri 4 di Dataran Kawad Pulapol IPK, di sini.

Mengulas mengenai latihan Rapid Team, beliau berkata sekurang-kurangnya seramai 2,000 pegawai dan anggota dari seluruh negeri ini berjaya mengikuti latihan berkenaan.

Menurutnya Rapid Team dilaksanakan sebagai usaha untuk memberi latihan tempur bagi membantu meningkatkan keyakinan diri para anggota dan pegawai terlibat ketika berdepan ancaman keselamatan di Sabah.

“Saya berharap latihan pertempuran seperti ini dapat diteruskan dan ditambah baik dengan pengisian yang lebih mantap.

“Ia bagi memastikan kesiapsiagaan anggota serta pegawai PDRM sentiasa berada pada tahap tertinggi.

“Pada masa sama, ia membantu Polis Kontinjen Sabah mempunyai pasukan pantas yang mempunyai ilmu pertempuran tinggi dalam berdepan ancaman,” jelasnya.

Abdul Rashid berkata keadaan geografi di Sabah yang jauh menyebabkan pihaknya membuat keputusan agar pasukan berkenaan dapat bertindak pantas tanpa menunggu bantuan pasukan khas dari Bukit Aman.

Advertisement