Anda di sini

Mayat wanita ditemui di dalam kereta Kancil

Advertisement

 Pasukan polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

MATI MENGEJUT: Pasukan polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

PUTATAN: Mayat seorang wanita ditemui di dalam sebuah kereta Perodua Kancil di depan Dewan Kampung Meruntum, di sini, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintenden Rosley Hobden berkata bau busuk dari kenderaan terbabit menyebabkan orang awam menyedari keadaan mangsa.

Menurutnya mangsa yang dikenali sebagai Nuratiqah Abdullah, 42, ditemui orang awam kira-kira jam 8.30 pagi.

“Orang awam yang pergi ke dewan itu terhidu bau busuk dan selepas mendekati kereta mangsa, mereka mendapati mangsa berada dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri.

“Pegawai penyiasat bersama anggota Balai Polis Putatan bergegas ke lokasi kejadian dan selepas disiasat mangsa disyaki meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Beliau berkata pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah menjalankan siasatan rapi di lokasi kejadian.

Setakat ini jelasnya siasatan polis menunjukkan tiada sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kes berkenaan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) untuk bedah siasat bagi mencari punca kematian mangsa.

“Sehubungan itu, polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini agar menyalurkan terus ke balai polis yang berhampiran,” katanya.

Beliau berkata siasatan lanjut masih diteruskan dan kes terbabit diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Advertisement