Anda di sini

Lebih 7,000 belia sertai ‘Sabah Moto Day 2.0’

Advertisement
 Tawfiq (tengah) bersama ribuan peserta dari Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan dan Brunei Darussalam.

BERKONGSI MINAT: Tawfiq (tengah) bersama ribuan peserta dari Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan dan Brunei Darussalam.

KOTA KINABALU: Lebih 7,000 belia menyertai Program Perhimpunan Permotoran Dua Roda ‘Sabah Moto Day 2.0’ yang berlangsung di tapak padang kawad Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini.

Program anjuran Kelab Sukan Bermotor Kapcai Tawau itu menghimpunkan golongan belia dari seluruh Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan dan Brunei Darussalam yang antara lain bertujuan memberi kesedaran mengenai keselamatan ketika berada di jalan raya.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan ketika ditemui selepas merasmikan program berkenaan berkata insiatif seperti itu wajar dicontohi kerana ia bukan sahaja kempen keselamatan jalan raya malah berkongsi hobi dan kemahiran khususnya dalam bidang permotoran.

Beliau turut menyifatkan kesungguhan menganjurkan program seperti itu jelas mencerminkan sinergi di peringkat golongan belia tempatan terus utuh.

“Usaha ini juga berupaya menjadi platform mengeratkan lagi silaturahim di samping aktiviti sampingan lain berkaitan permotoran,” katanya.

Tawfiq turut memberi galakan agar aktiviti itu diperluas penganjurannya di seluruh Borneo sebagai galakan belia serantau mengenai perkongsian hobi dan pengetahuan berkaitan permotoran yang turut memberi manfaat kepada sektor pembangunan sumber ekonomi.

“Ini merupakan satu ekspresi, aspirasi anak-anak muda yang berkongsi minat dalam sukan permotoran, mereka juga berkongsi nilai-nilai terutama dari segi pemanduan berhemah, bagaimana menjaga kenderaan mereka supaya dalam keadaan baik apabila digunakan di jalan raya, agar tidak mendatangkan kemudaratan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kelab Sukan Bermotor Kapcai Tawau Rudhi Hariyanto Ghazali berharap program seumpama itu akan terus dilaksana sekali gus menjadi landasan bukan sahaja bertukar-tukar pengetahuan dan minat dalam bidang permotoran malah memberi keinsafan mengenai pentingnya mengutamakan keselamatan ketika berada di jalan raya.

“Kita sedar betapa belia di Sabah ini memerlukan kempen ataupun acara seperti ini,” katanya.

Program yang mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan serta kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) itu turut disertai oleh beberapa pemilik motosikal berkuasa tinggi.

Program itu juga diserikan dengan pelbagai pengisian seperti taklimat dan pertandingan pelbagai kategori penyertaan.

Advertisement