Anda di sini

Tahun paling mencabar berakhir, muncul lebih kukuh pada 2017: FGV

Advertisement

KUALA LUMPUR: Selepas mengharungi tahun yang mencabar, yang menyaksikan sahamnya merosot, FELDA Global Ventures Holdings Berhad (FGV) optimis muncul sebagai organisasi yang lebih kukuh dan efisien hasil daripada penambahbaikan prestasi perladangan dan harga komoditi yang tinggi.

“Kami meletakkan keyakinan yang tinggi terhadap pasaran komoditi yang lebih baik, selari dengan paras inventori minyak sawit yang lebih rendah, permintaan eksport yang meningkat, pemberhentian sementara perladangan baharu di Indonesia selain pemulihan harga minyak mentah,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Zakaria Arshad.

Bagi 2017, strategi FGV akan melibatkan tiga teras utama iaitu rasionalisasi perniagaan bagi menjadikan organisasi lebih cekap, memacu ke arah keberkesanan operasi dan pertumbuhan luar yang selektif, tanpa berkompromi terhadap tadbir urus yang baik dan penuh ketelusan, katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Zakaria berkata rasionalisasi secara menyeluruh dalam Kumpulan FGV akan menjadikan kumpulan itu lebih efisien dan kompetitif pada 2017 menerusi penstrukturan, pelupusan atau kerjasama dengan rakan lain bagi aset yang menyebabkan keuntungannya merosot.

FGV juga menyusun semula struktur organisai dan model perniagaan bagi mencapai keseragaman dan kebolehtanggungjawaban, kebergantungan terhadap ketidaktentuan komoditi dan mata wang dan juga memantau lebih mendalam perniagaan syarikat sekutu, katanya.

Beliau berkata bagi bahagian hiliran, kami akan membangunkan penerokaan pasaran, sama ada secara organik, ejen pemasaran atau kerjasama strategik dengan penggiat tempatan.

Selain itu, FGV yang beroperasi dengan kos pentadbiran yang cukup tinggi sebelum ini, kini berjaya dikurangkan sebanyak lebih RM100 juta, tertakluk kepada pengauditan.

“Kos pentadbiran yang kini lebih cekap, sudah menjadi budaya dan regim pengurusan dalam FGV, dengan dapat melaksanakan lebih banyak perkara pada kos yang lebih rendah,” katanya.

Zakaria berkata Pelan Strategik 2017-2020 FGV, yang akan dilaksanakan tidak lama lagi, menyediakan hala tuju yang lebih jelas dan kaedah untuk memacu pertumbuhan mampan dalam keseluruhan organisasi.

Beliau juga berkata semakan menyeluruh terma kerjasama dengan rakan kerjasama strategik dilaksanakan bagi mencapai aspirasi kerjasama yang sebenar, yang secara langsung memberi nilai yang lebih baik kepada FGV.

“Semakan ini juga antara lain bagi memastikan kuasa bersama dalam operasi dan bahagian korporat, produk bersama, pembangunan pasaran, hala tuju dalam pemindahan teknologi dan pendedahan modal insan ke dalam persekitaran perniagaan dunia.”

Selain itu, kriteria pemilihan untuk sebarang kerjasama pada masa depan juga telah diketatkan dengan mekanisma sama-sama menang perlu diperjelas sebelum sebarang perjanjian kerjasama dimeterai.

Lembaga Pengarah juga telah meluluskan beberapa polisi dalaman bagi memastikan integriti, ketelusan dan kebertanggungjawaban yang lebih tinggi dalam kalangan kakitangan dalam kumpulan itu.

Antaranya, polisi Hadiah, Hiburan dan Hospitaliti (GEH) dan Pengisytiharan Harta Peribadi (APID), kedua-duanya dirangka bagi mencegah Pengarah atau kakitangan daripada sebarang situasi konflik kepentingan, kata Zakaria.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata FGV juga mahu memastikan sekurang-kurangnya 16 kompleks kilangnya menerima pensijilan RSPO (rundingan meja bulat mengenai Minyak Sawit Lestari) pada 2017, yang membolehkan kami meneroka pasaran yang memerlukan standard berkenaan.

Sehingga 28 Dis lepas, RSPO memberikan FGV dan FELDA pendaftaran keahlian berasingan.

“Kami menjangkakan lebih banyak premium daripada minyak sawit mampan terutama daripada produk berkaitan minyak isirung sawit mentah (CPKO) yang menjana lebih nilai ketika ini. Kami juga menyediakan 22 lagi kompleks kilang untuk diaudit pada 2017,” kata Zakaria.

Akhirnya Zakaria yakin bahawa segala kesulitan telah berlalu, dan beliau telah bersedia untuk membawa FGV ke tahap yang lebih tinggi dan memberi pulangan kepada pemegang saham pada 2017.

Melihat Cabaran 2016, beliau berkata 2016 ternyata tahun yang sangat mengujakan apabila harga sahamnya kembali meningkat daripada paras terendah RM1.33 ke paras tertinggi RM2.50 sebelum stabil pada nilai RM1.55 pada penghujung tahun.

Berakhirnya tahun 2016 memperlihatkan genap sembilan bulan Zakaria menerajui FGV.

Menurutnya ini berlaku meskipun pelbagai usaha dilakukan seperti yang ditetapkan dalam pelan peralihan yang secara umumnya melibatkan pengukuhan perniagaan teras, memperkukuh aset sedia ada dan menangguhkan aktiviti penggabungan dan pengambilalihan.

Cabaran utama yang dihadapinya dalam tempoh berkenaan yang dilihat mempengaruhi prestasi syarikat dan harga saham termasuk  Fenomena El Nino terburuk dan berlanjutan dan memberi impak negatif ke atas hasil ladang FGV, selari dengan kejatuhan hasil peringkat negara yang mendorong kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM).

Mengenai Eagle High Plantation (EHP), Zakaria berkata keyakinan pasaran terhadap pengurusan beliau pada peringkat awal mula terjejas ekoran ketidaktentuan terhadap perancangan pengambilalihan EHP yang belanjutan sejak Jun 2015.

“Namun kini FGV telah pun menandatangani Perjanjian Penamatan dengan Kumpulan Rajawali pada 23 Dis 2016, sekali gus menamatkan isu berkenaan.

“Pelaburan itu kini diambil alih oleh FIC Properties Sdn Bhd, sebuah entiti di bawah FELDA,” katanya.

Bagi FELDA Iffco Gida Sanayi (FIG), Turki, beliau berkata FGV kini menunggu laporan audit forensik terhadap kerugian sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

“Kami juga sedang merangka kertas kerja berkaitan untuk tuntutan perlindungan insurans membabitkan kes berkaitan penipuan yang membolehkan ganti rugi untuk sebahagian besar kerugian yang direkodkan,” katanya. — Bernama

Advertisement