Anda di sini

Qualitas akan buka tiga pusat penjagaan harian pada 2017

Advertisement

PETALING JAYA: Qualitas Medical Group Sdn Bhd (Qualitas) merancang memperluaskan operasi dengan membuka sekurang-kurangnya tiga pusat penjagaan ambien di Lembah Klang tahun ini.

Pengasas, Pengerusi dan Pengarah Urusannya Datuk Dr Noorul Ameen Mohamed Ishack berkata pengembangan yang tepat pada masanya itu merupakan sebahagian daripada rancangan strategik syarikat berikutan wujudnya persekitaran yang kondusif, disokong oleh teknologi dan permintaan.

Beliau berkata operasi penjagaan ambien atau pusat jagaan harian berkenaan akan dilaksanakan dengan kerjasama pakar-pakar yang akan melakukan rondaan untuk menjalankan prosedur perubatan yang lebih murah berbanding hospital.

“Dimasukkan ke hospital dan mendapat rawatan membabitkan perbelanjaan yang sangat mahal. Ada permintaan daripada pengguna serta syarikat-syarikat insurans yang mahukan prosedur dan perundingan pakar dilakukan pada kos yang lebih rendah.

“Teknologi perubatan telah berkembang pesat dan anda tidak lagi perlu dimasukkan ke hospital untuk menjalani prosedur perubatan yang sama. Inilah sebabnya kami mahu meneroka dalam bidang ini,” katanya kepada Bernama.

Pertumbuhan secara menegak ini akan membolehkan pengembangan di sepanjang rantaian bekalan, memperluas ke dalam operasi baharu bagi mengurangkan kebergantungan syarikat ke atas firma lain dalam proses pengeluaran dan pengedaran.

Dr Noorul Ameen berkata syarikat itu telah mengenal pasti pusat ambien pertamanya di Eve Suites, Ara Damansara.

Pembukaannnya sedang diusahakan, dan pusat ini dijangka dilancarkan pada suku pertama 2017.

Pusat kedua pula terletak di sebuah kawasan di Ampang, Selangor manakala pusat ketiga berkemungkinan di Puchong, Selangor, katanya.

“Selepas Lembah Klang, kami merancang meluaskan operasi ke seluruh negara.

“Dalam tempoh dua hingga tiga tahun, kami menyasarkan untuk membuka 12 hingga 15 pusat harian di seluruh negara,” katanya.

Mengenai hasil, beliau berkata menerusi 15 pusat ambien, segmen itu dijangka menyumbang nisbah ketara kira-kira 30 hingga 35 peratus kepada pendapatan kumpulan.

Sebuah pusat penjagaan Qualitas boleh melaksanakan prosedur rawatan pesakit luar seperti pembedahan kecil, fisioterapi, pemulihan ke atas pesakit yang mengalami patah anggota badan, perubatan fizikal dan pemulihan, dan wad jagaan harian.

Ia mempunyai hampir semua kemudahan sebuah hospital, kecuali dewan bedah, tempat pemulihan semalaman untuk pesakit selepas anestesia, dan Unit Rawatan Rapi.

Perbelanjaan modal untuk pusat penjagaan ambien tidaklah sebesar mendirikan sebuah hospital, kata Dr Noorul Ameen, sambil menambah bahawa syarikat itu akan memilih hartanah yang dikenal pasti untuk pusat itu dan melakukan pengubahsuaian.

Qualitas ialah antara pembekal penjagaan kesihatan terkemuka di Malaysia, dan di seluruh Asia Pasifik, yang menawarkan pelbagai jenis perkhidmatan penjagaan kesihatan utama.

Beroperasi pada 1997, Dr Noorul Ameen berkata kumpulan itu ditubuhkan dengan matlamat untuk membangunkan rangkaian bersepadu amalan penjagaan kesihatan asas bagi menyediakan penjagaan kesihatan berkualiti kepada masyarakat pada kos yang efektif.

Perniagaannya telah berkembang menerusi penggabungan dan pengambilalihan, dan hari ini Qualitas mengendalikan rangkaian 105 klinik umum enam pusat pergigian. — Bernama

Advertisement