Anda di sini

Dua kenderaan dihempap pokok tumbang

Advertisement

TAWAU: Dua buah kereta dihempap pokok tumbang di Jalan Dr. Yamamoto, Kampung Jawa di sini, kira-kira jam 5.25 petang, namun tiada kecederaan dan kematian dilaporkan.

Insiden terbabit turut mengakibatkan kesesakan jalan selama kira-kira satu jam sebelum pokok yang tumbang itu berjaya dialihkan pasukan bomba dengan bantuan orang awam.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Tawau Faisal Ahmad berkata, pasukannya menerima panggilan pada jam 5.28 petang sebelum bergegas ke lokasi.

“Kita menggerakkan sebuah jentera dan lima orang anggota,” katanya sambil mendedahkan sebuah lagi insiden pokok tumbang dilaporkan berlaku di Tanjung Batu.

Faisal berkata dalam insiden kedua, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.33 petang dan menggerakkan sebuah jentera dan empat anggota ke lokasi terbabit.

Untuk rekod, Jalan Dr. Yamamoto menjadi tumpuan pengguna kenderaan yang keluar dari bandar Tawau berikutan laluan utama di Jalan Utara Baru berhampiran SM Islamiah Tawau dinaiki air.

Keadaan itu berlaku akibat hujan lebat yang turun semenjak jam 2 petang dan berlarutan ketika waktu puncak iaitu semasa orang ramai yang habis bekerja mulai balik menuju kediaman masing-masing.

Advertisement