Anda di sini

Empat lelaki ditahan dalam operasi bersepadu IPD Kudat

Advertisement
 Anggota pasukan keselamatan melakukan pemeriksaan ke atas penghuni sebuah rumah.

PEMERIKSAAN: Anggota pasukan keselamatan melakukan pemeriksaan ke atas penghuni sebuah rumah.

KUDAT: Empat lelaki termasuk dua warganegara Malaysia ditahan dalam Operasi Bersepadu Ibu Pejabat Polis Daerah Kudat, di sini, pada Rabu.

Dua warganegara Malaysia berumur 32 dan 38 tahun terbabit ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15 (1)(c) Akta Dadah Berbahaya 1952, sementara dua lelaki warga asing berumur 20 dan 23 tahun melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen tidak memiliki dokumen diri.

Ketua Polis Daerah Superintendan Douglas Nyeging Taong berkata, operasi yang melibatkan 35 anggota dan pegawai IPD Kudat, Polis Marin dan Pasukan Gerak Am (PGA) Kudat telah memeriksa 36 penduduk di Kampung Pantai Bahagia, di sini.

Daripada jumlah itu, seramai 18 lelaki dewasa dan 18 wanita diperiksa dalam operasi yang dijalankan bermula jam 5 hingga 6.30 petang di kampung itu yang diketuai oleh Douglas.

Beliau berkata, tujuan operasi adalah meningkatkan kawalan keselamatan dan ketenteraman awam, membanteras dan mencegah jenayah serta penyalahgunaan dadah.

“Selain itu, mengesan dan menangkap pendatang tanpa izin yang tinggal secara tidak sah di daerah ini serta memberikan keyakinan kepada masyarakat tentang usaha berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) daerah ini mengekang sebarang ancaman keselamatan,” katanya.

Douglas berkata selain membuat tangkapan PTI, ‘show off force’ dilakukan bagi mempertingkatkan keyakinan masyarakat terhadap pasukan keselamatan bagi menjamin ketenteraman dan kesejahteraan daerah ini.

Di samping itu, katanya, memperlihatkan persiapan pasukan keselamatan khususnya PDRM dalam menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku berkaitan sebarang ancaman keselamatan.

“Operasi ini akan dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi meningkatkan kawalan keselamatan semasa di daerah ini,” katanya.

 

Advertisement