Anda di sini

Pembangunan Pertanian Melaka catat keuntungan RM1.8 juta

Advertisement

JASIN: Pembangunan Pertanian Melaka Sdn Bhd mencatatkan peningkatan keuntungan kepada RM1.8 juta bagi tempoh Januari hingga November tahun ini berbanding RM800,000 bagi keseluruhan tahun lepas, kata Timbalan Pengerusinya Datuk Hasan Rahman.

Beliau berkata peningkatan keuntungan anak syarikat kerajaan negeri Melaka itu antara lain disebabkan masalah banjir kilat dalam ladang kelapa sawit, yang selama ini menjadi punca utama kemerosotan pendapatan, telah berjaya diatasi.

“Banjir kilat itu disebabkan saliran tidak diselenggara dan dalam keadaan tidak baik. Namun langkah segera telah diambil untuk mengatasi masalah berkenaan dan ia jelas menyumbang kepada peningkatan keuntungan syarikat.

“Sekiranya masalah ini tidak berlaku tahun depan, syarikat dijangka meraih keuntungan lebih tinggi,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan persekolahan syarikat itu di sini, malam kelmarin.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Pertanian Melaka Sdn Bhd Datuk Isnin Aman.

Mengulas lanjut, Hasan berkata peningkatan keuntungan berkenaan turut membuktikan syarikat berkenaan diurus dengan baik walaupun dalam keadaan kelembapan ekonomi pada masa kini.

Beliau berkata syarikat sedang dalam perbincangan untuk meneroka sektor perkilangan menerusi pengeluaran kelapa sawit yang diuruskan antaranya minyak masak dan produk berasaskan bahan komoditi berkenaan.

Katanya sektor berkenaan mampu memastikan keuntungan lebih tinggi kerana mempunyai pasaran yang luas dan permintaan yang tinggi.

“Ini adalah sektor baharu yang ingin kita terokai kerana ia mempunyai potensi yang baik pada masa hadapan. Kita tidak boleh bergantung pada satu bidang sahaja iaitu pada ladang kelapa sawit.

“Sektor ini telah berkembang di Sabah dan Sarawak serta di Indonesia. Saya lihat usaha ini boleh kita laksanakan sekiranya pihak pengurusan diberi kepercayaan yang tinggi untuk mencuba sektor ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata keuntungan syarikat dikongsi bersama masyarakat negeri ini menerusi bantuan wang tunai RM206 dan beg sekolah kepada 300 murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah daripada keluarga kurang kemampuan juga merupakan satu tanggungjawab sosial korporat syarikat. — Bernama

Advertisement