Anda di sini

AIMS jangka catatkan pertumbuhan dua digit

Advertisement

KUALA LUMPUR: Syarikat pembekal perkhidmatan penghantar data neutral yang terkemuka di Asia Tenggara, AIMS Group of Companies, jangka akan merekodkan pertumbuhan hasil sebanyak dua digit dalam 2016.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Chiew Kok Hin dalam satu kenyataan, berkata ruang untuk pusat datanya berkembang sebanyak 10,000 kaki persegi pada tahun ini dan tahap penggunaanya sudah mencecah sehingga 90 peratus.

Katanya, permintaan bagi penyimpanan data akan terus meningkat memandangkan kerajaan sedang menukar Kuala Lumpur menjadi sebuah bandar pintar.

“Ini bermakna lebih banyak data akan dikumpul termasuk pemasangan kamera litar tertutup untuk pengecaman wajah serta kuasa pengkomputeran yang lebih baik akan diperlukan, oleh itu ruang storan data perlu ditambah.

“Sejak kebelakangan ini, sudah menjadi satu trend, bagi menghasilkan video melalui platform media sosial dan ini melonjakkan lagi permintaan untuk ruang simpanan,” katanya.

Beliau menjangkakan lebih banyak syarikat lebih kecil dan pembekal kandungan yang lebih besar akan muncul dalam tahun-tahun berikutnya memandangkan wujudnya IPTV dan pertambahan pembekal kandungan dalam talian.

Chiew berharap kerajaan akan mengambil langkah-langkah proaktif untuk mengatasi masalah tarif elektrik tinggi yang dihadapi oleh industri pusat data berikutan peningkatan kos terus menjadi cabaran terbesar dalam industri tersebut.

“Tarif tenaga merangkumi sehingga 40 peratus daripada kos operasi syarikat kami dan kami berharap kerajaan akan mengiktiraf industri ini sebagai salah satu daripada aspek terpenting dalam matlamatnya untuk bergerak ke arah ekonomi digital,” katanya. — Bernama

Advertisement