Anda di sini

Suku kaum Dusun Sonsogon harap suara lebih didengari melalui PESOSA

Advertisement

KOTA KINABALU: Menyedari isu masalah tanah dan sistem perhubungan jalan raya yang dihadapi sejak bertahun lamanya kurang didengari, maka sekumpulan penduduk Kota Marudu dan Pitas menubuhkan Persatuan Etnik Sonsogon Sabah (PESOSA) sejak Oktober lalu.

Presiden PESOSA Jaibah Makaum berkata, bagi menyediakan medium yang sesuai untuk menyuarakan permasalahan dihadapi suku kaum Dusun Sonsogon yang kebanyakannya berada di kawasan Kota Marudu dan Pitas, mereka memutuskan untuk menubuhkan persatuan berkenaan.

Katanya, mereka percaya melalui persatuan itu suara suku kaum Dusun Sonsogon akan lebih didengari dan permasalahan yang dihadapi sejak dahulu akan dapat dikemukakan kepada kerajaan melalui saluran yang betul.

Beliau berharap agar mereka dapat memperjuangkan hak serta membangunkan masyarakat Dusun Sonsogon yang sudah lama tinggal di kedua-dua kawasan itu.

Berkenaan isu pemilikan tanah beliau berkata, sehingga kini 90 peratus masyarakat Dusun Sonsogon yang tinggal di Kota Marudu dan Pitas masih belum memiliki geran tanah biarpun sudah menetap di perkampungan masing-masing sejak zaman nenek moyang mereka.

Oleh itu, melalui PESOSA, mereka berharap kerajaan akan memberi lebih perhatian terhadap isu pemberian geran tanah terhadap suku kaum Dusun Sonsogon di kedua-dua daerah ini.

Ketiadaan geran tanah itu menyukarkan penduduk mempertahankan tanah adat mereka daripada diceroboh pihak luar.

Katanya, pada 1979 terdapat syarikat yang memohon tanah di kawasan mereka dan apabila ia diluluskan terdapat beberapa kawasan penduduk kampung yang terjejas.

Selain itu, suku kaum Dusun Sonsogon di Kota Marudu dan Pitas juga berdepan dengan isu sistem perhubungan jalan raya yang menyukarkan penduduk membawa hasil pertanian mereka ke pekan berhampiran.

Sehingga kini ada antara penduduk yang masih menggunakan laluan tanah merah dan laluan pembalakan untuk keluar ke pekan.

Antara kampung-kampung di Kota Marudu dan Pitas yang memerlukan sistem perhubungan jalan raya ialah Sonsogon Magandai, Lingabungan 2, Samparita, Bumbong 1, Soniton Ulu, Lingabungan 1dan Maliau-Bambangan Ulu.

Jaibah berkata, selain pembinaan jalan raya, mereka juga berharap pembinaan jambatan konkrit yang menghubungkan Kampung Bengkoka – Kampung Pinampak – Kampung Maliau akan dipercepatkan bagi memudahkan penduduk di lima buah kampung yang berada di seberang Sungai Bengkoka, Pitas.

 

Advertisement