Anda di sini

RAM Ratings jangka terbitan sekuriti kerajaan 2017 cecah RM110 bilion

Advertisement

KUALA LUMPUR: RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings) menjangkakan terbitan sekuriti kerajaan bagi tahun depan akan berjumlah antara RM100 bilion dan RM110 bilion.

Dalam satu kenyataan baru-baru ini, agensi penarafan itu berkata unjuran itu mengambil kira keperluan pembiayaan kerajaan bagi tahun depan.

Bagi tempoh tahun ini setakat November lepas, terbitan kasar sekuriti kerajaan mencecah RM92 bilion dan RAM Ratings menjangkakan terbitan tahun penuh dalam lingkungan RM90 bilion hingga RM100 bilion.

“Jumlah terbitan kasar korporat pula sebanyak RM81.4 bilion bagi tempoh Januari-November 2016 dan ia menepati unjuran kami antara RM75 bilion dan RM85 bilion pada tahun ini.

“Kami dapati terbitan tahun ini lebih memberangsangkan, didorong oleh kedua-dua entiti swasta dan separa kerajaan dengan peningkatan tahun ke tahun masing-masing sebanyak 9.1 peratus dan 83.3 peratus,” katanya.

RAM Ratings menyifatkan peningkatan mendadak terbitan separa kerajaan kepada terbitan baharu ke dalam pasaran dan institusi sedia ada, terutama entiti berkaitan utiliti dan pengangkutan melibatkan jumlah lebih besar sepanjang tahun ini.

Ia juga menjangkakan terbitan kasar korporat bagi tahun penuh akan mencecah RM75 bilion dan RM85 bilion, berdasarkan terbitan yang dirancangkan.

Mengulas prestasi bagi 2016, RAM Ratings menyifatkan pasaran pendapatan tetap Malaysia sebagai lemah, sebahagiannya dipengaruhi oleh sentimen pasaran membabitkan hala tuju kadar faedah Amerika Syarikat apabila para pelabur terpaksa memilih antara meraih pulangan atau mengelak risiko.

Pasaran bon Malaysia turut menyaksikan pengaliran keluar bersih sebanyak RM19.9 bilion pada November lepas susulan kemenangan Presiden Donald Trump yang di luar jangkaan serta mencetuskan ketidaktentuan.

Malah, menurut RAM Ratings, langkah Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini untuk mengekang dagangan ringgit di luar pesisir juga berkemungkinan turut mencerminkan jumlah pengaliran keluar bagi bulan berkenaan.

“Sejak pengumuman BNM, timbul spekulasi mengenai kemungkinan kecairan pasaran hadapan tukaran asing dalam negara akan dipertingkatkan.

“Kesemua langkah ini, sebahagiannya bagi memperkukuhkan ringgit, terbukti berjaya.

“Bagaimanapun, sehingga pasaran tukaran asing dalam negara lebih kukuh, kami menjangkakan penyertaan pelabur asing dalam pasaran bon akan berkurangan bagi tempoh sekurang-kurangnya satu lagi suku,” katanya. — Bernama

Advertisement