Anda di sini

Pertumbuhan China diunjur lembap 6.1 peratus pada 2018

Advertisement

KUALA LUMPUR: China diunjur mencatat pertumbuhan ekonomi perlahan, iaitu 6.1 peratus pada 2018 berbanding 6.7 peratus pada 2016 berikutan pertumbuhan pelaburan yang lemah, menurut Qatar National Bank (QNB).

QNB berkata, ia susulan kebimbangan terhadap hutang korporat yang meningkat dan kemeruapan harga hartanah sehingga memaksa kerajaan mengurangkan rangsangan.

Dalam laporan ‘China Economic Insight 2016’ yang dikeluarkan baru-baru ini, QNB berkata, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar negara itu semakin menurun sejak beberapa tahun kebelakangan ini berikutan pertumbuhan pelaburan swasta yang perlahan dan kelemahan permintaan luaran.

“Ini mendorong kerajaan menyokong ekonomi melalui pelaburan awam dan dasar monetari yang lebih longgar,” kata QNB.

Laporan berkenaan menunjukkan bahawa lebihan akaun semasa China dijangka susut satu peratus daripada KDNK pada 2017, turun daripada 2.1 peratus pada 2016.

“Ini terutamanya akibat daripada penurunan sekular dalam eksport, namun selepas itu ia akan pulih pada 2018 kepada 1.3 peratus memandangkan import berkaitan program pelaburan menyusut,” menurutnya.

Mengenai mata wang China, laporan itu turut menjangkakan pihak berkuasa China mengekalkan kestabilan luas yuan pada 2017-2018 selepas susut sekitar tujuh peratus berbanding kumpulan mata wang wajaran diniagakan pada 2016.

“Mata wang yang stabil itu sewajarnya membantu penurunan rizab antarabangsa menyederhana dan kami menjangkakan rizab akan kekal pada jumlah yang agak besar iaitu memadai bagi menampung import 15 bulan,” menurut laporan itu.

Bagi 2016, QNB menjangkakan defisit bajet akan meningkat, terutamanya disebabkan hasil kerajaan yang rendah memandangkan pihak berkuasa melaksanakan pengurangan cukai baharu yang akan menurunkan kos menjalankan perniagaan.

Bagi 2017, ia berkata, tumpuan kepada penilaian yang cenderung kepada perbelanjaan, seperti perbelanjaan keselamatan, dijangka menambah lagi defisit.

“Pada 2017 hingga 2018, kami menjangkakan pengurangan pelaburan awam untuk membendung paras hutang yang meningkat, dengan hutang awam diunjur meningkat kepada 51.2 peratus daripada KDNK menjelang 2018, daripada 45.8 peratus pada 2016,” kata QNB.

Mengenai pertumbuhan deposit China, QNB menjangkakan ia menurun susulan pertumbuhan KDNK yang perlahan dan aliran keluar modal, serta pada masa sama pertumbuhan kredit kekal tinggi, sekaligus menyebabkan kecairan yang semakin ketat. — Bernama

Advertisement