Anda di sini

Jalinan mesra mampu erat hubungan pemimpin, rakyat

Advertisement
 Nasir (tiga kanan) bersama Ramlee (dua kanan), Ahmad Marzuki (lima kiri), Zakiah (empat kiri) dan Abd. Manan (tiga kiri) melakukan simbolik penyerahan bendera UMNO dan BN kepada sebahagian penduduk.

SERAH BENDERA: Nasir (tiga kanan) bersama Ramlee (dua kanan), Ahmad Marzuki (lima kiri), Zakiah (empat kiri) dan Abd. Manan (tiga kiri) melakukan simbolik penyerahan bendera UMNO dan BN kepada sebahagian penduduk.

SEMPORNA: Pemangku Ketua UMNO Bahagian Semporna Dato Sri Nasir Tun Sakaran menyifatkan Program Jalinan Mesra Pemimpin dan Rakyat Tiada Berpisah sebagai satu program yang mampu mengeratkan hubungan baik antara pemimpin dan rakyat di negeri ini.

Katanya, ia juga merupakan wadah terbaik dalam usaha mendekati rakyat di sesebuah kampung selain dapat mendengar masalah yang dihadapi rakyat sekali gus memperlihatkan kesungguhan kerajaan dalam membela nasib rakyat.

Menurut beliau, program itu juga merupakan aktiviti pemimpin turun padang untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan khususnya menyampaikan maklumat serta dasar-dasar kerajaan yang sedang dan akan dilaksanakan.

Beliau berkata demikian sempena Program Jalinan Mesra Pemimpin Zon Bangau-Bangau di pekarangan Dewan Belia dekat sini.

Turut hadir ialah Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Ramlee Marahaban, Pegawai Daerah Semporna Dr Chacho Bulah, PPM DUN Bugaya Suhud Jaani, Ketua Daerah Semporna OKK Musa Sabaani, Setiausaha UMNO Bahagian Mohd Syam Muksam, AJK-AJK UMNO Bahagian, pemimpin-pemimpin pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Semporna.

Nasir berkata, program jalinan mesra itu juga dilihat mampu mewujudkan percambahan pemikiran antara pemimpin dan rakyat dalam usaha untuk merancang pembangunan kampung selain meningkatkan sosioekonomi penduduknya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang menjelaskan, UMNO Bahagian Semporna akan sentiasa menganjurkan program seumpama itu di semua zon bagi kawasan Parlimen Semporna dengan menggerakkan ketiga-tiga sayapnya iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri.

Katanya, usaha itu bagi memastikan tiada kawasan yang tercicir terutamanya dalam soal pembangunan infrastruktur, ekonomi dan pendidikan.

Beliau turut menyeru rakyat khususnya penduduk di kawasan Parlimen Semporna agar terus memberi sokongan padu kepada kerajaan yang ada sekarang bagi memastikan kesinambungan perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan baik dan teratur.

Sempena majlis itu Datuk Ramlee yang juga ADUN Bugaya telah menyampaikan sumbangan kanopi daripada Warisan Harta Sabah Sdn Bhd kepada penerima-penerima di Zon Bangau-Bangau.

Advertisement