Anda di sini

Industri insurans lakar babak baharu

Advertisement

Fasa pertama liberalisasi tarif insurans motor, kebakaran diperkenal 1 Julai

KUALA LUMPUR: Industri insurans Maaysia melakar babak baharu ke arah transformasi dengan pengenalan fasa pertama liberalisasi tarif insurans motor dan kebakaran pada 1 Julai.

Eksesais penghapusan tarif itu akhirnya dilaksana selepas perbincangan di antara penggiat industri serta Bank Negara Malaysia (BNM) dimulakan pada 2013.

Dengan fasa pertama penghapusan tarif, syarikat insurans dibenarkan menetapkan harga produknya berdasarkan risiko, di mana premium akan ditetapkan berdasarkan profil risiko berbeza pengguna.

Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) berkata, perkembangan itu akan dikaji semula pada 2019 sebelum liberalisasi sepenuhnya.

Walaupun saingan dijangka bertambah sengit berikutan liberalisasi tarif, penganalisis bagaimanapun berpendapat perang harga tidak akan berlaku.

“Ini kerana penetapan harga produk insurans masih perlu berada dalam rangka kerja modal berasaskan risiko yang dikeluarkan BNM,” kata MIDF Research dalam satu nota.

Firma penyelidikan itu juga mengingatkan penanggung insurans agar melabur dalam teknologi bagi membina mekanisme penetapan harga yang canggih dan meningkatkan keupayaan operasi.

“Jika tidak, mereka yang kekurangan modal untuk melabur ke arah meningkatkan model penetapan harga dijangka terjejas teruk oleh penetapan di bawah harga untuk risiko polisi insurans ditaja jamin,” tambahnya.

Menurut Laporan Ekonomi 2016/2017 oleh Kementerian Kewangan, premium langsung kasar sektor insurans am bagi tempoh Januari hingga Julai meningkat 0.8 peratus tahun ke tahun kepada RM10.7 bilion.

“Bagaimanapun, pertumbuhan dalam premium langsung kasar untuk segmen motor malar pada 0.3 peratus disebabkan penurunan jualan untuk kenderaan penumpang dan komersil,” katanya.

PIAM yang mempunyai 28 anggota insurans am, telah memberi amaran yagn persekitaran operasi untuk separuh kedua 2016 akan menjadi sukar.

Sementara itu, transformasi juga berlaku dalam segmen insurans hayat berikutan pengenalan platform insurans dalam talian pertama di Malaysia pada November 2015.

Ketika ini, rakyat Malaysia boleh membeli insurans hayat asas melalui U For Life, platform insurans dalam talian pertama di negara ini.

“Dengan premium berpatutan serendah RM9.85 sebulan, iaitu kurang daripada harga secawan ‘teh tarik’ sehari, rakyat Malaysia kini dilindungi oleh insurans hayat asas,” kata Pengasas U For Life, Ravinder Singh.

Platform dalam talian tersebut adalah satu daripada saluran langsung yang ditetapkan BNM di bawah Rangka Kerja Insurans Hayat dan Takaful Keluarga (Rangka Kerja Hayat) bagi mempromosi inovasi dan pasaran yang lebih kompetitif.

Menurut rangka kerja itu, yang diperkenal pada November 2013, bank pusat itu menetapkan semua syarikat insurans hayat atau pengendali takaful keluarga menawarkan produk perlindungan tulen berdiri sendiri bebas komisen.

Produk terlibat ialah insurans/takaful berjangka, penyakit kritikal dan perubatan serta kesihatan melalui sekurang-kurangnya satu saluran langsung seperti melalui platform dalam talian atau kaunter langsung mulai 1 Januari 2017.

“Langkah itu dijangka menyumbang ke arah meningkatkan kadar penembusan insurans dan takaful kepada 75 peratus pada 2020 sebagaimana disasarkan di bawah Program Transformasi Ekonomi,” kata Presiden Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Toi See Jong.

Menurutnya, persatuan itu akan terus memberi tumpuan untuk mencapai kadar penembusan yang disasarkan dan meneruskan usaha menggesa pelepasan cukai berasingan untuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta premium insurans hayat.

Toi berkata, kini hanya gabungan pelepasan cukai RM6,000 ke atas KWSP dan premium insurans hayat diberikan kepada pembayar cukai.

Laporan Ekonomi itu menunjukkan kadar penembusan pasaran insurans hayat daripada Januari hingga Julai tahun ini berada pada 40.1 peratus berbanding 40.8 peratus dalam tempoh sama tahun lepas.

Menurutnya, premium perniagaan baharu berkembang 5.9 peratus kepada RM5.5 bilion dalam tempoh itu, terutama disokong pertumbuhan polisi hayat tanpa penyertaan serta anuiti.

Bagaimanapun, premium perniagaan baharu untuk polisi berkaitan pelaburan merosot 5.1 peratus disebabkan peningkatan turun naik pasaran kewangan domestik sejak 2015.

Kini terdapat 16 syarikat insurans hayat dalam LIAM.

Untuk industri takaful, dua dokumen polisi mengenai Proses Penilaian Kecukupan Modal Dalaman untuk pengendali takaful serta ujian stres masing-masing telah dikeluarkan pada April dan Jun bagi mengukuhkan penilaian kecukupan modal serta pengurusan risiko.

Industri itu juga dijangka mampu membentuk semula dirinya dengan dua syarat pelesenan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA 2013), di mana penanggung insurans Islam komposit disyaratkan untuk memecahkan perniagaan takaful keluarga dan takaful am di bawah dua lesen berasingan menjelang Julai 2018.

“Sektor takaful itu dijangka mengekalkan pertumbuhan dua angka pada 2016 dan 2017 berikutan pengembangan dalam polisi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Institut Insurans Malaysia, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman.

“Ia juga kekal mengatasi keluaran dalam negara kasar Malaysia,” katanya.

Laporan Ekonomi itu juga berkata, perniagaan takaful keluarga baharu itu berkembang 7.4 peratus dengan sumbangan langsung kasar RM2.3 bilion daripada Januari hingga Julai berbanding RM2.1 bilion dalam tempoh sama tahun lepas.

“Bagi tempoh sama, perniagaan takaful am juga berkembang dengan sumbangan langsung kasar RM1.42 bilion, meningkat daripada RM1.40 bilion sebelum ini,” tambahnya.

Setakat ini, sebanyak 15 syarikat mendaftar sebagai anggota Persatuan Takaful Malaysia.

Dengan transformasi dan inisiatif inovatif yang dilaksana pada 2016, industri insurans Malaysia kini sudah bersedia mengharungi prospek yang lebih cerah pada tahun baharu. — Bernama

Advertisement