Anda di sini

Revolver diguna dalam kes gaduh di Kulim dirampas

Advertisement
 Asri Yusoff menunjukkan sepucuk pistol jenis Revolver dan sebutir peluru yang dirampas dalam pemeriksaan di sebuah rumah di Taman Seri Pinang, Kulim awal pagi semalam. — Gambar Bernama

HASIL RAMPASAN: Asri Yusoff menunjukkan sepucuk pistol jenis Revolver dan sebutir peluru yang dirampas dalam pemeriksaan di sebuah rumah di Taman Seri Pinang, Kulim awal pagi semalam. — Gambar Bernama

ALOR SETAR: Pihak polis merampas sepucuk revolver bersama sebutir peluru hidup yang dipercayai digunakan dalam kes pergaduhan di Kulim pada Sabtu lalu.

Pistol itu ditemukan di sebuah rumah di Taman Seri Pinang, Kulim kelmarin.

Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff berkata dalam serbuan jam 1 pagi itu, tiga suspek turut ditahan yang terdiri daripada pasangan suami isteri yang lelaki tempatan itu bekerja sebagai pemandu jengkaut sementara isterinya, warga Thailand bekerja sebagai tukang urut, serta seorang wanita tempatan.

“Pistol itu ditemui di atas kabinet dapur dan pemeriksaan lanjut menemui sebutir peluru dalam sebuah kereta Proton Wira yang diletakkan di hadapan rumah.

“Turut dirampas ialah kereta tersebut,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Siasatan awal katanya, menunjukkan pistol yang dirampas itu digunakan dalam satu insiden pergaduhan di sebuah kafe di Kulim, di mana pistol tersebut digunakan untuk mengetuk kepala mangsa dalam pergaduhan yang melibatkan beberapa lelaki.

Kesemua suspek yang berusia 32 hingga 34 tahun ditahan reman sehingga 31 Dis ini bagi membantu siasatan manakala kes disiasat dibawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960. — Bernama

Advertisement