Anda di sini

Polis tahan sembilan pemandu mabuk

Advertisement
 Salah seorang pemandu diperiksa oleh anggota polis semasa Ops Samseng Jalanan dan Ops Mabuk.

PERIKSA: Salah seorang pemandu diperiksa oleh anggota polis semasa Ops Samseng Jalanan dan Ops Mabuk.

KOTA KINABALU: Seramai sembilan individu ditahan selepas didapati memandu dalam keadaan mabuk dalam Ops Samseng Jalanan dan Ops Mabuk yang dijalankan awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M.Chandra berkata, semua yang ditahan berumur dalam lingkungan 22 hingga 34 tahun.

Pihaknya akan menyiasat kesemua suspek di bawah Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

Menurutnya, beberapa lokasi sekitar bandar raya terlibat dalam operasi berkenaan termasuklah Jalan Coastal, Jalan Lintas, Jalan Tuaran Bypass, Jalan Kepayan, Jalan 1Borneo.

“Operasi ini dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kota Kinabalu bermula jam 11.30 malam Sabtu hingga jam 5 pagi kelmarin.

“Turut dijalankan Ops Trucam iaitu operasi tembak laju malam di kawasan Jalan Kepayan.

“Kita turut menahan seorang suspek di bawah Seksyen 53 APJ 1987 kerana mempunyai waran tangkap trafik yang masih aktif,” katanya di sini kelmarin.

Sepanjang operasi itu katanya, sebanyak 16 buah motosikal disita atas pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 60 APJ 1987.

Selain itu jelasnya sebanyak 227 keping saman dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan termasuk 107 saman kerana memandu laju.

Chandra berkata, pihaknya memeriksa seramai 64 orang dan 55 kenderaan pelbagai jenis secara teliti dalam operasi berkenaan.

Advertisement