Anda di sini

Ketua komuniti bertanggungjawab lindungi kawasan tadahan air Babagon

Advertisement
 Fredolin menanam pokok sebagai simbolik kepada pemuliharaan hutan kawasan tadahan air Babagon.

PULIHARA: Fredolin menanam pokok sebagai simbolik kepada pemuliharaan hutan kawasan tadahan air Babagon.

INANAM: Kawasan hutan tebal yang masih belum terusik yang terdapat di hulu Kampung Kolosunan dan Kampung Babagon Toki di daerah Inanam perlu dilindungi serta dipulihara kerana ia merupakan tadahan air utama bagi empangan air Babagon.

Bagi tujuan itu, maka satu Bengkel River Environmental Eduction Programme (REEP) Fasa II telah diadakan baru-baru ini di Balai Raya Kampung Kolosunan, anjuran  Jabatan Hasil Bumi dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan yang lain.

Bengkel itu menerangkan tentang kesedaran ketua-ketua komuniti mengenai kepentingan memulihara dan melindungi kawasan tadahan air Babagon daripada sebarang kegiatan yang boleh merosakan serta mencemarkan kawasan tadahan berkenaan.

Menurut Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Inanam Fredolin Totin Bangon, beliau amat menyokong program yang dianjurkan ini kerana ia dapat memupuk rasa tanggungjawab dalam kalangan ketua-ketua komuniti serta masyarakat yang tinggal di kawasan ini untuk sama-sama memulihara dan melindungi kawasan tadahan air Babagon.

Tambah beliau lagi, dengan adanya program seumpama ini maka ketua-ketua komuniti serta penduduk kampung boleh menyuarakan permasalahan serta memberi pandangan kepada Jabatan Hasil Bumi serta agensi-agensi kerajaan yang terlibat.

Fredolin yang ditemui selepas program berkenaan turut menyokong cadangan yang dibincangkan dalam program ini terutama keperluan pengazetan kawasan tadahan sebagai salah satu alternatif yang boleh menyelamatkan kawasan tadahan air Babagon daripada pencerobohan pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sungai yang terdapat di Kampung Kolosunan dan Kampung Babagon Toki merupakan satu-satunya sumber air utama kepada empangan Babagon yang juga merupakan keperluan sumber air bersih kepada sebahagian daerah di negeri ini.

Advertisement