Anda di sini

Jangan ada yang tercicir

Advertisement

 Jainab dan Yakub menyempurnakan gimik pelancaran Program Berkhatan dengan menyiram air ke arah kanak-kanak yang terlibat.

MAJLIS BERKHATAN: Jainab dan Yakub menyempurnakan gimik pelancaran Program Berkhatan dengan menyiram air ke arah kanak-kanak yang terlibat.

TELIPOK: Pemimpin masyarakat diingatkan supaya memaklumkan kepada penduduk kampung masing-masing mengenai semakan status Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang sudah dibuka pendaftarannya pada awal bulan ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hala Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata, langkah ini penting bagi mengelak berlaku kembali masalah keciciran nama pemohon.

“Kita tidak mahu ada masyarakat yang berhak mendapatkan bantuan ini tercicir disebabkan tiadanya pemberitahuan daripada pemimpin setempat terutamanya di kawasan pedalaman.

“Jika masalah ini berlanjutan, rakyat akan terus mempersalahkan pihak atasan sedangkan masalah ini berpunca daripada kecuaian untuk memaklumkan awal kepada penduduk kampung masing-masing,” katanya ketika berucap pada Program Berkhatan Perdana Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) N.12 Karambunai, di sini pada Sabtu.

Selain itu Jainab yang Ketua Wanita UMNO Sepanggar berkata, seramai 50 kanak-kanak diraikan pada Program Berkhatan Perdana yang berlangsung di pekarangan Masjid Kampung Lapasan.

Katanya, program berkenaan adalah acara yang diadakan setiap tahun bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan.

“Kita sentiasa prihatin dengan golongan kurang berkemampuan. Oleh sebab itu, kerajaan akan terus menghulurkan bantuan tanpa mengira bangsa.

“Usaha ini jelas menunjukkan kerajaan sentiasa turun padang bagi meninjau permasalahan rakyat bersesuaian dengan konsep membantu rakyat yang memerlukan,” jelasnya.

Justeru katanya, rakyat haruslah bersyukur dan terus memberikan sokongan padu kepada kerajaan yang ada kini agar pembangunan lestari akan terus dinikmati bersama.

Pada program itu juga turut berlangsung penyampaian hadiah Pertandingan Kampung dan Taman Terbaik bagi kawasan DUN Karambunai yang disampaikan oleh Pemangku Ketua Bahagian UMNO Sepanggar Datuk Yakub Khan.

Kampung Bandulan muncul johan bagi kategori Kampung Terbaik dengan membawa pulang geran sebanyak RM20,000.

Manakala, tempat kedua dan ketiga dimenangi oleh Kampung Darau dan Kampung Inanam Laut yang masing-masing mendapat RM15,000 dan RM10,000.

Bagi kategori Taman Perumahan Terbaik pula, Taman Sepanggar muncul Johan dengan menerima RM20,000 manakala, Taman Kemajuan Likas diikuti Taman Kuala Menggatal merangkul tempat kedua dan ketiga dengan masing-masing membawa pulang RM15,000 dan RM10,000.

Sehubungan itu, Jainab berharap agar ia mampu menyuntik semangat pemimpin masyarakat bersama penduduk kampung untuk terus membangunkan kawasan masing-masing dengan menerapkan enam ciri iaitu Kebersihan, Kemajuan ekonomi, Kebudayaan, Perpaduan, Keselamatan dan Keceriaan.

Advertisement