Anda di sini

Sertai pertandingan ‘Old Court House Skate Jam 2016’

Advertisement

KUCHING: School of Skateboarding dan Homer Skateshop akan menganjurkan Pertandingan Papan Selaju ‘Old Court House Skate Jam 2016’ pada 31 Disember ini bertempat di pekarangan mahkamah lama.

Penganjur, Zulkarnien Poasa berkata tiga kategori akan dipertandingkan iaitu ‘Best Trick Stairs’, ‘Best Trick Rail’ dan ‘Best Trick Fire Hydrant On Launcher’.

Pertandingan akan bermula pada jam 11 pagi dengan yuran penyertaan berjumlah RM5 bagi setiap peserta.

Bagi merancakkan lagi aktiviti hari tersebut, penganjur turut menganjurkan malam anugerah yang diadakan selepas pertandingan berakhir.

Menurut Zulkarnien, malam anugerah itu diadakan bagi mengiktiraf penggiat sukan papan selaju di negeri ini khususnya di Kuching.

Tiga anugerah akan diberikan kepada pemenang Video Terbaik Skateboard 2016 (untuk Kuching, Sarawak), ‘Rookie Of The Year’ (peluncur baru berbakat 2016) dan ‘Skater Of The Year’ (peluncur berbakat besar 2016).

Majlis tersebut akan diadakan di kantin dewan Old Court House.

“Panel pemilihan anugerah ini dibuat oleh bekas-bekas peluncur di seluruh Kuching, Sarawak amnya.

“Sukan papan selaju telahpun diiktiraf oleh Majlis Sukan Olimpik pada tahun ini dan juga Sukan Malaysia (SUKMA) akan datang.

“Sukan ini bukanlah sesuatu yang baharu namun tidak seperti sukan alternatif lain yang hanya bersifat sementara.

Hakikatnya sukan papan selaju masih diminati anak muda masa kini dan tak lapuk ditelan zaman.

“Aktiviti sukan ekstrem ini mampu menarik minat belia amnya dan merupakan aktiviti yang sihat serta mampu menghindarkan mereka dari terlibat dalam gejala yang tidak berfaedah,” ujar Zulkarnien.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada syarikat dan individu perseorangan yang telah membantu menaja untuk menjayakan pertandingan tersebut.

Menjelas mengenai School of Skateboarding, beliau berkata kelab yang berdaftar di bawah Kementerian Belia dan Sukan itu ditubuhkan sebagai platfrom untuk melatih belia yang berminat untuk mendalami kemahiran dalam sukan tersebut.

Menurutnya, belia yang berminat akan dilatih oleh bekasbekas peluncur yang berwibawa dan diiktiraf oleh Kementerian Belia dan Sukan.

Mereka yang berminat untuk menyertai pertandingan atau menyertai kelab berkenaan boleh menghubungi Zulkarnien di talian 012- 8571259, Danny Zulfikar (0111-2285607) atau dengan melayari laman Facebook ‘School Of Skateboarding Kch’.

 

Advertisement