Anda di sini

Pemain remaja Sarawak kuasai podium golf SportExcel AmBank Ke-11

Advertisement

KUCHING: Pemain golf remaja dari Sarawak menguasai podium pada Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa Kumpulan-SportExcel Am- Bank Ke-11 yang berakhir di Templer Park Country Club, Rawang pada Khamis lalu.

Dalam kategori remaja lelaki 15-18 tahun, pemain dari Miri Lim Beng Keat dinobatkan juara selepas mencatat 147 mata dalam saingan selama dua hari.

Beliau menewaskan Adam Arif Madzri dengan kelebihan satu pukulan (OCB) dan pemain Thailand, Pattanan Bruminthent di tempat ketiga.

Kategori perempuan 15-18 tahun pula menyaksikan Ashley Lau Jen Wen berjaya mengekalkan kejuaraan yang dimenanginya pada tahun lalu.

Ashley (16 tahun) yang mewakili Hills Australia mencatat 147 pukulan dalam saingan selama dua hari untuk menewaskan Winnie Ng dengan 150 pukulan dan Natasha Andrea Oon (153).

Pemenang ditentukan menerusi kutipan mata untuk dua hari selepas perlawanan terjejas akibat hujan lebat pada Khamis.

Ashley bagaimanapun tidak dapat menikmati hadiah utama, biasiswa selama setahun dari Akademi Golf Hills, Gold Coast, Australia pada tahun ini memandangkan beliau telahpun melanjutkan biasiswa berkenaan untuk tempoh setahun lagi selepas memenangi Terbuka Remaja Hills Australia pada awal bulan ini.

“Saya amat gembira kerana berjaya mengekalkan kejuaraan hari ini dan latihan di Hills Australia telah membantu meningkatkan mutu permainan saya dengan hebat.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kumpulan AmBank dan SportExcel kerana menganjurkan kejohanan ini,” ujar Ashley yang memenangi biasiswa selepas muncul pemain terbaik keseluruhan tahun lepas dipetik sebagai berkata dalam satu kenyataan dari AmBank.

Seorang lagi pemain remaja dari Sarawak yang semakin mencipta nama, Angel Hii meriah kedudukan ketiga dalam kategori perempuan 13-14 tahun dengan mengumpul 165 mata.

Juara milik Panchalika Arphamongkol dari Thailand (152) manakala G Vinisha di tempat kedua (163).

Kategori remaja lelaki 13- 14 tahun menyaksikan pemain negara berpangkalan di Dubai, Zubair Firdaus dinobatkan johan untuk membolehkan beliau merangkul biasiswa lumayan berjumlah kira-kira RM150,000.

Sementara itu, Trofi Cabaran Tan Sri Azman Hashim dirangkul Pemain Terbaik Blue Tee (Lelaki 13-14 tahun dan 15-18 tahun), Zubair dan pemenang White Tee (Perempuan 13-14 tahun dan 15-18 tahun) Ashley Lau.

Hadiah disampaikan oleh Pengerusi SportExcel, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar, Ketua Pemasaran dan Komunikasi Korporat Kumpulan AmBank, Syed Anuar Syed Ali dan CEO AmBank Islamic, Eqhwan Mokhzanee.

 

Advertisement