Anda di sini

Kurang faktor menyinar suramkan sektor tenaga

Advertisement

Permintaan tidak menunjukkan peningkatan berikutan sentimen pengguna domestik yang lembap

KUALA LUMPUR: Kemerosotan permintaan dan kurang pemangkin yang dapat memberi ‘sinaran’ kepada sektor tenaga menjadikan pertumbuhannya suram pada tahun 2016.

Sektor tenaga negara hanya mencatatkan pertumbuhan sebanyak empat peratus bagi tahun ini.

Penganalisis bahagian penyelidikan Hong Leong Investment Bank (HLIB) Daniel Wong berkata permintaan bagi sektor itu tidak menunjukkan peningkatan berikutan sentimen pengguna domestik yang lembap.

Lebih memburukkan lagi keadaan, kesan pasaran global yang tidak memberangsangkan akan menyaksikan kurang pendorong yang berpanjangan bagi permintaan tenaga pada 2017.

“Kejatuhan nilai ringgit menaikkan lagi harga gas dan arang batu yang digunakan untuk menjana elektrik.

“Faktor kelembapan permintaan… kerana harga naik, permintaan bagi kuasa turun, kecuali jika terdapat campur tangan, atau rangsangan daripada kerajaan untuk membantu industri,” katanya kepada Bernama.

Namun, penggunaan ‘akses pihak ketiga’ (TPA) secara percubaan pada tahun 2017 akan menjadi sesuatu yang monumental.

Ini melibatkan pembukaan pasaran untuk TPA, terutama dalam saluran paip gas, grid penghantaran serta loji pengegasan semula di Melaka.

Sementara itu, syarikat utiliti Tenaga Nasional Bhd (TNB) juga telah mengumumkan rebat Pelepasan Kos Ketidakseimbangan (ICPT) sebanyak 1.52 sen/ kWj berkuat kuasa 1 Jan hingga 30 Jun, 2017, berjumlah RM766.33 juta.

Rebat ICPT itu akan dikenakan kepada semua pengguna kecuali mereka yang penggunaan bulanan 300kWj dan ke bawah.

ICPT adalah satu mekanisme yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Tenaga sebagai sebahagian daripada pembaharuan kawal selia yang lebih luas yang dikenali sebagai Peraturan Berasaskan Insentif (IBR).

Mekanisme ICPT dilaksanakan sejak 1 Januari 2014 dan membolehkan kadar tarif elektrik disemak setiap enam bulan, tertakluk kepada keputusan dan kelulusan kerajaan.

Rebat ini juga mengambil kos tambahan gas berikutan pelan rasionalisasi subsidi kerajaan, dan keputusan untuk meningkatkan lagi harga gas berpaip daripada RM19.70/mmBTU sekarang ini kepada RM21.20/mmBTU, yang akan berkuat kuasa awal tahun depan.

Wong menjangka pengguna tidak akan dapat menikmati rebat tarif terutamanya pada separuh kedua 2017 kerana kos penjanaan elektrik TNB akan disalurkan kepada pengguna akhir dengan kenaikan harga arang batu diambil kira.

Beliau berkata entiti tenaga seperti TNB dan Malakoff Corp Bhd akan lebih memanfaatkan industri gas berikutan rasionalisasi harga gas oleh kerajaan.

Firma penyelidikan itu juga menjangka harga elektrik akan naik berikutan harga arang batu yang tinggi, dengan arang batu melonjak hampir 170 peratus tahun ini.

Kenaikan harga arang batu berpunca daripada pengeluar arang batu terbesar dunia, China, disebabkan oleh arahan daripada kerajaannya untuk mengurangkan lebihan kapasiti walaupun permintaan daripada pengeluar keluli meningkat.

Kerajaan China mengurangkan bilangan hari bekerja untuk operasi lombong arang batu sebagai usaha mengawal lebihan pengeluaran sehingga menyebabkan harga melonjak dan pada Oktober, bagi menangani keadaan ini, ia telah mengurangkan sekatan dan mengarahkan syarikat-syarikat perlombongan utama untuk meningkatkan pengeluaran.

Bagaimanapun, kenaikan harga arang batu tidak terhenti dan sejak Julai, telah meningkat tiga kali ganda.

Wong berkata kenaikan harga arang batu akan memberi kesan kepada kos penjanaan kuasa, dan dalam kes TNB, kos akan akhirnya disalurkan kepada pengguna akhir.

Pendapatan TNB daripada operasi di Malaysia agak lembap setelah sektor berkenaan dikawal dan satu-satunya cara untuk meningkatkan minat dan pendapatan pelabur ialah dengan ke luar negara yang tidak dikawal selia, katanya.

Pada tahun ini, TNB membuat dua pelaburan ketara melalui 30 peratus kepentingan dalam GAMA Enerji Turki dan 30 peratus pegangan dalam GMR Energy Ltd India.

Pada 12 April, TNB memuktamadkan perjanjian US$255 juta yang menandakan kemasukannya ke sektor tenaga Turki yang berkembang dengan pemindahan saham GAMA Enerji AS kepada Global Power Enerji AS, anak syarikat milik penuh TNB.

Syarikat menjadi tajuk utama sekali lagi pada 4 Nov, apabila memperoleh pegangan dalam GMR Energy pada US$300 juta, menandakan kemasukannya ke dalam sektor tenaga yang pesat berkembang di India, dengan permintaan elektrik semakin meningkat antara enam dan tujuh peratus.

TNB juga dilaporkan berminat untuk menembusi pasaran Eropah selain agresif memperluaskan kedudukan di pasaran serantau, dengan meninjau peluang di Asia Tenggara, Asia Selatan dan Timur Tengah.

Pelaburan luar negara akan mempelbagaikan sumber pendapatan TNB pada masa akan datang dengan melihat negara-negara yang menawarkan pertumbuhan mampan jangka panjang atau mempunyai pertumbuhan lebih tinggi berbanding Malaysia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Seri Ir Azman Mohd berkata pengembangan luar negara akan menjadi langkah ke hadapan dalam usaha syarikat untuk menjadi antara 10 syarikat utiliti utama dunia dari segi permodalan pasaran menjelang 2025, dan bagi pelaburan antarabangsa untuk menyumbang 20 peratus daripada pendapatan pada masa itu.

Azman berkata TNB sedang mengkaji pelaburan yang boleh memberi syarikat itu pertumbuhan pendapatan seperti PPA (perjanjian pembelian tenaga) dan langkah untuk ke luar negara juga untuk mengimbangi permintaan elektrik yang semakin menyusut di dalam negara setelah negara bergerak ke arah penjimatan dan kecekapan tenaga.

Beliau berkata syarikat juga berhasrat untuk menambah penjanaan tenaga boleh diperbaharui (RE) dalam portfolionya untuk meningkatkan reputasinya sebagai peserta dalam industri tenaga.

TNB mahu untuk menjadi peneraju ASEAN dalam RE dengan rancangan untuk melabur di dalam negara dalam projek solar, angin biomas, biogas dan mini-hidro.

Syarikat berada dalam kedudukan yang baik untuk mengambil kesempatan daripada peluang yang ada dalam RE memandangkan pengetahuan dan kepakaran yang diperoleh daripada pelbagai projek solar grid komunitinya, projek kuasa hidro mini dan 5,777 projek tenaga boleh diperbaharui di Semenanjung Malaysia.

TNB kini mengambil langkah aktif untuk mencapai matlamat RE termasuk melalui Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) yang dimiliki 83 peratus yang telah membida untuk pembangunan loji fotovoltan solar berskala besar 200MW di Sabah dan Labuan, katanya.

Keputusan bidaan itu dijangka diketahui pada Januari tahun depan dan TNB yakin memperoleh projek tersebut.

Sementara itu, pelbagai promosi telah diadakan bagi menggalakkan rakyat Malaysia beralih daripada sumber-sumber tenaga konvensional kepada pengeluaran tenaga yang lebih bersih, menurut Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA).

Ia berkata pelaksanaan berterusan dan konsisten dalam program RE dan kecekapan tenaga disokong dengan hala tuju dasar yang komprehensif akan dapat mempercepatkan peralihan ini dan meningkatkan kadar kejayaan.

Melangkah ke tahun 2017, setelah pertumbuhan permintaan tenaga yang dilihat semakin berkurangan, peserta utama menyusun semula strategi mereka untuk mengambil kesempatan memanfaatkan pasaran luar, meninjau untuk menambah kapasiti baru kepada kapasiti Malaysia yang ada sekarang ini pada 20GW.

Kapasiti Semenanjung berjumlah 22,220 MW, dengan 11,818 MW adalah dari TNB manakala bakinya daripada pengeluar tenaga bebas. — Bernama

Advertisement